PRN Sarawak: Kekerapan penerbangan Miri ke Lawas, Limbang ditambah

MIRI - Kekerapan penerbangan dari Miri ke Lawas dan Limbang akan ditambah ekoran rungutan daripada pengguna yang menghadapi kesukaran mendapatkan tiket laluan udara ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kekerapan penerbangan di Sarawak akan bertambah bermula 11 hingga 31 Disember ini melibatkan sebanyak 307 penerbangan.

“Saya sudah mengarahkan Mavcom (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) mengkaji situasi ini kerana kita perlu menambah bilangan penerbangan (ke Lawas dan Limbang) dan meningkatkan kebolehcapaian orang ramai dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya pada satu sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Pejabat Laut Miri, Jabatan Laut Wilayah Sarawak di sini, pada Jumaat.

Mengenai pejabat baharu berkenaan, Ka Siong berkata projek Kerajaan Persekutuan bernilai RM9 juta itu telah siap sepenuhnya Ogos tahun lepas dengan reka bentuk terkini serta dilengkapi kemudahan pejabat yang moden dan mampu menempatkan seramai 40 kakitangan.

Beliau juga maklumkan Kementerian Pengangkutan komited dalam memberikan perkhidmatan dan kemudahan terbaik kepada seluruh warga Keluarga Malaysia.

Katanya, terbaharu Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan sebahagian Jeti Pejabat Laut di Sarikei yang dianggarkan bernilai RM3.6 juta.

“Jeti baharu di Sarikei itu berupaya mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta meningkatkan aktiviti pemantauan keselamatan navigasi di sepanjang perairan Sarikei,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 18 Disember ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Disember manakala pengundian awal pula ditetapkan pada 14 Disember. - Bernama