PRN Sarawak: Jentera PBB Tupong bersedia SOP kempen

KUCHING - Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong akan digerakkan secara aktif sejurus prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen pilihan raya negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak diumumkan

Tegas penyandang ADUN Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman misinya adalah untuk memastikan masyarakat di kawasan merasai kehadiran pasukan pusat khidmatnya.

"Sebelum ini pun kita telah turun untuk menyantuni masyarakat, bertanya apa keperluan mereka, apa bantuan yang mereka perlukan.

"Setelah kita dapat tahu apa SOP maka kita akan bergerak berpandukan SOP tersebut. Kita sedia menerima apa-apa pun SOP dan kita sedia menghadapi pilihan raya ini dengan apa pun cabaran yang bakal dilemparkan terhadap kami," katanya.

Fazzrudin berkata demikian selepas menyempurnakan Program Simbolik Penyerahan Input Pertanian di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa, di sini pada Rabu.

Baginya, strategi utama adalah untuk memastikan masyarakat di kawasan merasai kehadiran pasukan pusat khidmatnya melalui perkhidmatan bakti yang berterusan serta cakna isu yang dihadapi mereka.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PBB berkata, beliau yakin bahawa rakyat mampu menilai baik siapa yang layak dipilih sebagai pemimpin mereka.

"Masyarakat boleh menilai apa yang telah disumbangkan oleh GPS, maka kita yakin masyarakat akan dapat menilai dengan baik siapakah yang telah memberi khidmat bakti kepada mereka,

"Siapakah yang mempunyai strategi yang jelas, siapakah yang mempunyai komitmen, konsistensi dan kestabilan dalam memastikan masa depan kita terjamin, terutama sekali dengan cabaran pandemik Covid-19 ini," ujarnya.

Pada PRN11 Sarawak, Fazzrudin menang dengan majoriti sebanyak 8,055 undi di DUN Tupong menewaskan pencabarnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurhanim Mokhsen. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :