Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Azalina Abd Rahman berhasrat menjadikan Chinchin sebagai pusat sukan ekstrem di negara ini.
Katanya, kawasan tersebut berpotensi untuk dibangunkan dengan aktiviti sukan lasak bukan sahaja di peringkat Melaka dan Malaysia malah di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, sebelum ini di Chinchin terdapat Taman Ekstrem Tasik Chinchin yang pernah jadi destinasi penggemar kegiatan lasak seperti flying fox, jungle trekking, berkayak, dan memanah.
Terletak kira-kira 9 kilometer dari bandar Jasin, ia juga punya taman air bagi aktiviti santai keluarga selain ada pemandangan tasik dan paya yang indah.
Dah tutup, terbengkalai
Taman Ekstrem ini walau bagaimanapun telah ditutup dan terbengkalai sejak beberapa tahun lalu atas sebab yang tidak dapat dipastikan.
Menyedari tarikan yang ada di sana sebagai destinasi rekreasi, Azalina mahu Chinchin jadi pintu masuk ke negeri Melaka bagi pengunjung dari negeri jiran yang terletak di selatan tanah air, Johor.
Ketua Wanita PN Melaka itu ditemui Sinar Harian pada Selasa dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berdepan persaingan tiga penjuru dalam merebut kerusi DUN Rim apabila dicabar dua lagi calon, iaitu Khaidhirah Abu Zahar dari Barisan Nasional (BN) dan Prasanth Kumar A/L Brakasam dari Pakatan Harapan (PH).
PRN Melaka akan diadakan 20 November ini selepas DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober susulan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan terhadap Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali.