'Pembangkang tak mampu'

PEKAN - Pembangkang tidak mampu membantu golongan luar bandar terutamanya peneroka Felda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara ini dapat dilihat apabila pihak pembangkang tidak bersungguh untuk membantu golongan berkenaan.

Justeru itu, katanya, hanya BN yang mampu meneruskan kesinambungan dan pembangunan bagi membawa negara ke peringkat lebih tinggi.

“Kita tidak yakin dengan pihak sebelah sana (pembangkang).  mereka tidak bersungguh-sungguh untuk membantu penduduk luar bandar seperti peneroka Felda, Felcra. Kita juga bimbang dengan nasib yang menimpa Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekiranya mereka berkuasa.

“Kalau boleh kita tidak payahlah tengok ke belakang, terus bernostalgia dengan apa yang sudah berlaku sebelum ini. Sebaliknya, kita tumpukan dan teruskan agenda perjuangan untuk agama, bangsa dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Setempat di Kampung Batu 8 Lepar, di sini, hari ini.

Turut hadir calon BN bagi kerusi Dun Pulau Manis, Datuk Mohd Khairuddin Mahmud.

Kira-kira 2,000 penduduk hadir pada majlis anjuran bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu 8 Lepar itu.

Sementara itu, Najib berkata,  tindakan pembangkang mengugut dan menggertak untuk membatalkan projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) menggambarkan mereka tidak memikirkan kesan terhadap rakyat.

“Sekarang pun kita sudah dengar ugutan dan gertakan daripada mereka (pembangkang) yang mahu membatalkan projek ECRL. Kalau kita batalkan projek yang bakal menyediakan 86,000 peluang pekerjaan kepada rakyat kita terutamanya generasi muda, apa yang akan jadi kepada mereka.

“Kita kena ingat, ECRL ini adalah pelaburan besar dari China. Jika kita batalkan dan China membuat keputusan untuk menghentikan pembelian kelapa sawit kita, kesannya akan diterima oleh peneroka kecil, terutamanya Felda. Semua ini kita kena ambil kira,” katanya.

Selain itu, Najib berkata, sebagai penyambung legasi peninggalan tokoh terdahulu, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai projek bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

 

Mohd Najib Abdul RazakBN
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular