Kempen mana-mana pilihan raya kebiasaannya berlangsung meriah dengan setiap calon giat mendekati pengundi bagi menyampaikan aspirasi mereka sebelum diberikan mandat menerajui sesebuah kawasan.
Walau bagaimanapun, kemeriahan tersebut sedikit sebanyak terbantut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila setiap calon perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khas dan ketat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beberapa larangan yang dikenakan seperti penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, ziarah rumah ke rumah dan 'walkabout' seperti kebiasaannya dilakukan sebelum ini menjadi cabaran kepada setiap calon yang bertanding.
Situasi sebegini memerlukan setiap calon dan parti politik yang bertanding berfikiran di luar kotak serta menunttu kreativiti yang tinggi bagi menarik perhatian para pengundi di Melaka.
Edar risalah guna skuter elektrik
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari memulakan kempen norma baharu dengan cara yang kreatif apabila beliau sendiri turun mengedarkan risalah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil menggunakan skuter elektrik.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu yang bertanding mempertahankan DUN Bukit Katil mengedarkan risalah dari rumah ke rumah memandangkan SPR membenarkan calon menggunakan kenderaan bergerak dan mengedarkan risalah ke peti surat untuk tujuan kempen.
Adly turut mengakui pilihan raya kali ini merupakan satu pengalaman yang baru dan sangat berharga.
"Pilihan raya kali ini adalah satu pengalaman yang baru yang sangat berharga. Kita terpaksa lalui norma baharu dari sudut kaedah kempen dan kaedah penyaluran maklumat kepada masyarakat.”
"Pesanan kepada rakyat Melaka, jangan takut untuk keluar mengundi pada 20 November nanti, ikuti SOP yang telah ditetapkan. Masa depan lima tahun negeri Melaka terletak di tangan anda. Sayangilah negeri kita," katanya menerusi hantaran Facebook beliau pada Selasa.
Patuhi SOP sebelum terima padah
Sementara itu,Timbalan Ketua Polis Melaka Razali Abu Samah berkata pihaknya membuka lima kertas siasatan setakat ini berhubung dakwaan pelanggaran SOP semasa hari penamaancalon pada Isnin.
Mereka termasuk Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka Ab Rauf Yusoh, dan Idris Haron dari Pakatan Harapan.
Memetik Malaysiakini, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 untuk kes di Tanjung Bidara.
"Empat lagi kertas siasatan dibuka di DUN lain di bawah seksyen sama iaitu di Kuala Linggi (PH dan BN), Kota Laksamana (PH), Telok Mas (PH) dan Selandar (PH)," katanya.