ALOR GAJAH - Proses penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara yang bermula jam 9 pagi pada Isnin menjadi tumpuan pertembungan hebat tiga penjuru.
Tempoh sejam dibenarkan bagi mengemukakan kertas penamaan calon dalam suasana norma baharu tanpa penyokong parti bertanding berada di kawasan pusat penamaan calon sebelum kesemua mereka berjaya melalui proses berkenaan kira-kira 30 minit kemudian.
Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengumumkan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai 'ayam tambatan' parti itu untuk berdepan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Perikatan Nasional (PN), manakala Pakatan Harapan (PH) meletakkan bekas Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Kemunting, Zainal Hassan sebagai calon mereka.
Zainal yang juga Setiausaha Pengelola Keadilan Cabang Masjid Tanah tiba di Kompleks Japerun Tanjung Bidara pada jam 8.08 pagi menjadi calon pertama menghantar borang penamaan.
Diikuti calon BN, Ab Rauf yang tiba di pekarangan kompleks penamaan calon pada jam 8.45 pagi dan calon PN, Mas Ermieyati pada jam 8.50 pagi.
Kerusi Tanjung Bidara sebelum ini disandang bekas guru, Datuk Md Rawi Mahmud selama dua penggal dan menang dengan majoriti 2,864 undi pada pilihan raya lalu selepas menewaskan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Melaka, Datuk Halim Bachik (PKR) dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka, Imran Abdul Rahman (Pas).