AYER KEROH - Suasana di Pusat Gerakan Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini gamat dengan sorakan penyokong sebaik beberapa pemimpin utama BN dan Perikatan Nasional (PN) tiba, pada Sabtu malam.
Antara pemimpin yang kelihatan ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Kehadiran pemimpin berkenaan disambut sorakan dan laungan penyokong yang mula memenuhi pusat gerakan itu sejak jam 6 petang.
Antara laungan yang kedengaran termasuk 'Mana lagi? Melake Ler!' dan 'Muafakat Nasional', sekali gus mencetuskan suasana meriah dalam kalangan penyokong yang berkumpul.