KAJANG - Pakatan Harapan (PH) akan menamakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 November ini.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Adly yang juga bekas Ketua Menteri Melaka adalah calon terbaik untuk menerajui pentadbiran negeri.
"Adly ialah calon terbaik (Ketua Menteri) dan beberapa yang lainlah tetapi setakat ini, Adly ialah konsensus untuk dinamakan sebagai calon Ketua Menteri kalau kita mendapat majoriti atau pun diberi kepercayaan,” katanya.
Menteri Besar Selangor itu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini pada Ahad.
Pada PRN kali ini, Adly yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil berdepan saingan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN) Ridzuan Sarif, Dr Aliza Che Amran daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Abu Bakar Sabudin (Bebas).
Pada PRN Melaka ke-15, Adly yang juga Naib Presiden Amanah memperoleh majoriti 1,057 undi selepas menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Hasnoor Sdg Husin daripada Barisan Nasional (BN), Muhammad Al Afiz Yahya (PN) dan Abdul Hamid (Bebas).
Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, berdasarkan situasi selepas selesai penamaan calon semalam, PH yakin mampu memberikan saingan sengit pada PRN ke-16.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala pengundian awal pada 10 November. - Bernama