HANG TUAH JAYA - [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan mempersoalkan prestasi pentadbiran Barisan Nasional (BN) Melaka yang didakwa masih gagal menyelesaikan masalah rakyat meskipun memperoleh mandat besar apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, kemenangan yang diperoleh itu sepatutnya disusuli dengan usaha lebih berkesan untuk menyelesaikan isu rakyat terutama berkaitan kebajikan, perumahan dan kemudahan asas.
Menurut beliau, kemenangan hampir 75 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membawa tanggungjawab besar yang perlu diterjemahkan melalui penyelesaian konkrit terhadap permasalahan rakyat.
"Disebabkan itu, kalau kita lihat BN juga perlu menjelaskan apakah yang sudah diselesaikan dan mengapa keluhan ini masih dibangkitkan terutamanya dalam persoalan yang terkait khusus kepada rakyat.
"Bukannya kembali meminta kepercayaan seolah-olah mereka baru mentadbir negeri ini," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini pada Ahad.
Beliau berkata, pelbagai keluhan rakyat diterima menerusi program turun padang oleh 24 calon PH pada hari pertama kempen termasuk isu bil air, kesukaran memiliki rumah, akses bantuan kebajikan serta peluang pekerjaan dengan gaji setimpal.
Tambahnya, peniaga kecil pula berdepan tekanan kenaikan sewa dan kekangan modal untuk meneruskan perniagaan.
"Begitulah juga kalau kita lihat di Melaka ini banjir berulang, peparitan, lampu jalan, kebersihan dan penyelenggaraa kemudahan awam turut menjadi perhatian dalam pertemuan-pertemuan kita dengan rakyat.
"Aduan mengenai Melaka Sentral, projek yang belum dimanfaatkan sepenuhnya serta keadaan lokasi pelancongan memerlukan jawapan dan tindakan yang perlu dinilai oleh kerajaan.
"Rakyat berhak bertanya jika urusan asas pun masih tidak dapat diselesaikan dan masih dikeluhkan oleh rakyat atas ukuran apa pentadbiran sedia ada mahu terus dibanggakan," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Adly memaklumkan gabungan itu akan melancarkan manifesto dalam tempoh terdekat dengan memberi tumpuan kepada keperluan asas rakyat.
"Keutamaan kami ialah tentang kediaman yang benar-benar mampu boleh dimiliki oleh rakyat, pendapatan yang lebih baik, sokongan kepada usahawan kecil, kebajikan pelajar serta bantuan dan akses yang telus dan juga dapat memberikan sesuatu yang terbaik kepada rakyat.
"Perinciannya akan kita bentangkan ketika pelancaran manifesto supaya komitmen ini dapat diteliti, dinilai sendiri oleh rakyat, oleh pengundi-pengundi kita," ujar beliau.
Mengulas kenyataan bahawa penyertaan parti lawan menentang BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN ini hanya membazir masa dan wang, Adly menegaskan proses demokrasi memberi peluang kepada rakyat memilih kerajaan baharu.
"Kuasa mentadbir bukan hak kekal pada mana-mana parti dan pengundi tidak berhutang mandat dengan sesiapa.
"Sebab itu 'Melaka Rumah Kita' adalah tekad PH untuk memastikan negeri ini diurus demi kesejahteraan rakyat dengan peluang yang lebih luas dan masa depan yang lebih terjamin," katanya.