SHAH ALAM - Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) tidak boleh dijadikan budaya politik baharu negara susulan pendekatan itu seolah-olah tidak mengiktiraf pilihan rakyat selain menyemarakkan salah guna kuasa demi mendapatkan sokongan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan sebaliknya perlu menyediakan peruntukan kepada semua ahli Parlimen yang dipilih rakyat tanpa mengira parti atau kedudukan mereka sebagai kerajaan mahupun pembangkang.
"Kita tidak boleh jadikan CSA sebagai satu budaya politik baru negara. Ia seolah-olah kita tidak iktiraf pilihan rakyat dan menyemarakkan salah guna kuasa demi untuk mendapatkan sokongan.
"Pandangan saya kerajaan kena sediakan peruntukan kepada semua wakil yang telah dipilih oleh rakyat, ia adalah tanggungjawab terhadap kawasan yang diwakili.
"Bagi saya kalau Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bertindak secara adil kepada semua ahli Parlimen ia adalah satu bentuk reformasi yang diperjuangkan selama ini," katanya kepada Sinar Ahad.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya CSA diperluaskan kepada parti politik lain.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menyifatkan kerjasama yang dimeterai beberapa parti di peringkat pusat sebagai perkembangan positif dan wajar diperkukuh tanpa mengira sama ada parti terbabit berada dalam kerajaan atau pembangkang.
Pada 29 Oktober lalu, beberapa Ahli Parlimen, termasuk enam ahli Dewan Rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memeterai CSA bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen.
Menerusi CSA, kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada wakil rakyat Bersatu terbabit dalam perjanjian itu, pada kadar sama seperti diterima Ahli Parlimen kerajaan.
Enam Ahli Parlimen Bersatu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).