SHAH ALAM – Keputusan Bersatu menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA), tetapi tetap menentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dilihat sebagai pendekatan pragmatik yang menguji konsistensi prinsip serta kepercayaan pengundi terhadap parti itu.
Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, tindakan tersebut mencerminkan usaha Bersatu mengimbangi kerjasama di peringkat Persekutuan dengan kepentingan dan kelangsungan politiknya di negeri, termasuk keputusan bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggunakan lambang sendiri.
Menurutnya, dari perspektif teori pilihan rasional, pendekatan itu boleh difahami sebagai usaha Bersatu memperluas ruang politik dan meningkatkan kuasa tawar-menawar ketika hubungan antara parti mengalami perubahan.
"Bagaimanapun, di sebalik pendekatan itu timbul persoalan lebih mendasar tentang konsistensi prinsip, kredibiliti kepimpinan dan keupayaan Bersatu mengekalkan kepercayaan pengundi," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menjelaskan, CSA membolehkan Bersatu bekerjasama dengan kerajaan dalam perkara tertentu termasuk kestabilan pentadbiran, Belanjawan 2027, reformasi institusi dan peruntukan pembangunan kawasan Parlimen, tanpa semestinya menyertai PH.
Namun, katanya, Bersatu perlu menjelaskan mengapa parti itu menyokong kerajaan Anwar di Parlimen tetapi terus bersaing dengan PH pada pilihan raya negeri.
"Perbezaan antara kerjasama institusi dan persaingan pilihan raya mungkin dapat diterima dari sudut amalan demokrasi, tetapi tanpa penjelasan yang konsisten, pendekatan ini boleh menimbulkan kekeliruan terhadap identiti dan pendirian politik parti," katanya.
Mengulas pemilihan lapan kerusi Bersatu di Melaka, Mohamad Hafis berkata, lima daripadanya dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRN 2021, iaitu Lendu, Gadek, Pantai Kundor, Kelebang dan Pengkalan Batu.
Dua lagi, Sungai Udang dan Bemban, dimenangi Perikatan Nasional (PN), manakala Ayer Keroh dikuasai PH.
Menurutnya, corak tersebut membuka ruang kepada tafsiran bahawa Bersatu bukan sekadar mahu mengekalkan persaingan dengan PH, tetapi turut berusaha mempertahankan pengaruh dalam kalangan pengundi yang sebelum ini menyokong PN.
"Perubahan hubungan politik antara BN dengan Pas menjadikan pertandingan di Melaka lebih signifikan kerana penyokong gabungan terdahulu kini berhadapan dengan pilihan parti dan kerjasama politik yang berbeza," katanya.
Undi PN tidak semestinya beralih
Mohamad Hafis berkata, sokongan terhadap PN pada 2021 tidak semestinya berpunca daripada kekuatan Bersatu semata-mata, sebaliknya mungkin turut dipengaruhi Pas, kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau keinginan pengundi mencari alternatif kepada BN dan PH.
Keadaan itu penting di tiga kerusi marginal BN, iaitu Gadek, Kelebang dan Pengkalan Batu yang masing-masing dimenangi dengan majoriti hanya 559, 876 dan 131 undi.
"Dalam pertandingan yang mempunyai sejarah majoriti kecil, perubahan sokongan beberapa ratus pengundi boleh mempengaruhi kedudukan calon.
"Namun, tidak wajar menganggap semua undi PN sebelum ini akan berpindah secara automatik kepada BN susulan kerjasama BN-Pas. Dari perspektif tingkah laku pengundi, pemindahan undi tidak berlaku secara mekanikal melalui perjanjian antara kepimpinan parti," katanya.
Beliau menjelaskan, pengundi turut mempertimbangkan identiti parti, penerimaan calon, isu tempatan, kepentingan ekonomi dan prestasi kerajaan sebelum membuat pilihan.
Justeru, kehadiran Bersatu berpotensi mempengaruhi pengagihan undi antara BN, PH dan parti lain, bergantung kepada corak sokongan di setiap kawasan.
**media[3694723]**
Mengenai penyertaan Bersatu di Ayer Keroh yang dimenangi DAP dengan majoriti 5,624 undi pada 2021, beliau berkata, langkah itu membawa dimensi berbeza kepada percaturan parti.
"Pertandingan tersebut boleh dilihat sebagai usaha memperlihatkan bahawa kerjasama melalui CSA di peringkat Persekutuan tidak bermaksud Bersatu menghentikan persaingan dengan PH. Ia juga boleh menjadi usaha membina pengaruh politik di kawasan bandar dan menguji penerimaan pengundi terhadap identiti parti," katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Hafis menegaskan penyertaan di Ayer Keroh tidak membuktikan pertandingan itu sekadar simbolik atau bertujuan menyembunyikan persefahaman politik dengan PH.
Begitu juga, katanya, kewujudan CSA tidak semestinya membuktikan terdapat perjanjian tidak rasmi antara kedua-dua parti mengenai pembahagian kerusi.
"Corak pertandingan boleh digunakan untuk membina hipotesis tentang strategi sesebuah parti, tetapi ia tidak memadai untuk membuktikan motif sebenar tanpa sokongan bukti yang lebih kukuh," katanya.
Pengajaran kekalahan Negeri Sembilan
Mengulas pengalaman Bersatu pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu, beliau berkata, parti itu gagal memenangi sebarang kerusi meskipun bertanding di 24 daripada 36 DUN menggunakan lambang sendiri, termasuk kehilangan kerusi Labu yang pernah disandangnya.
Menurutnya, keputusan tersebut memperlihatkan cabaran Bersatu apabila bertanding di luar gabungan yang sebelum ini menjadi sumber kekuatan politiknya.
Ia turut menimbulkan persoalan sejauh mana sokongan kepada Bersatu bergantung kepada kekuatan organisasi sendiri, jaringan parti gabungan atau populariti kepimpinan nasional.
"Sesebuah parti mungkin mempunyai pengaruh besar di peringkat nasional, tetapi pengaruh tersebut tidak semestinya dapat diterjemahkan kepada kemenangan di peringkat kawasan tanpa calon yang diterima masyarakat, jentera akar umbi yang tersusun dan hubungan berterusan dengan pengundi.
"Oleh itu, keputusan Bersatu hanya memilih lapan kerusi di Melaka berbanding 24 di Negeri Sembilan boleh ditafsirkan sebagai kemungkinan perubahan dalam pendekatan pemilihan kawasan dan pengagihan sumber," katanya.
Mohamad Hafis berkata, pengalaman itu menunjukkan kekuatan sesebuah parti ketika bersama gabungan tidak semestinya sama apabila bertanding secara bersendirian.
Mengulas hala tuju Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), beliau berkata, kerjasama dan persaingan boleh berlaku serentak dalam sistem demokrasi berparlimen, namun pendekatan pragmatik perlu disertai penjelasan yang konsisten bagi mengekalkan kepercayaan pengundi.
"Sekiranya pendirian sesebuah parti berubah tanpa penjelasan yang meyakinkan, pengundi mungkin sukar membezakan sama ada tindakan itu berasaskan kepentingan dasar atau pertimbangan kelangsungan organisasi," katanya.
Beliau bagaimanapun berpandangan terlalu awal untuk menyimpulkan Bersatu sudah memilih penjajaran politik baharu kerana CSA mungkin sekadar kerjasama institusi terhad, manakala pertandingan di Melaka menunjukkan parti itu masih mempertahankan autonominya.
"Hala tuju sebenar parti itu hanya dapat dinilai dengan lebih jelas menerusi keputusan rasmi dan tindakan politik selepas pilihan raya," katanya.
Menurutnya, antara ujian penting ialah pendirian Bersatu sekiranya memenangi kerusi DUN Melaka, sama ada kekal sebagai pembangkang, menyokong pentadbiran negeri secara bersyarat atau menyertai rundingan pembentukan kerajaan.