PRN Melaka: Proses penamaan calon bermula hari ini

MELAKA - Tirai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dibuka secara rasmi hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung serentak di 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri bermula 9 pagi.

Bakal calon diberi tempoh sejam hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan secara rasmi.

Sejurus pengumuman itu, saingan merebut mandat rakyat memasuki fasa berkempen selama 14 hari hingga 11.59 malam, 13 Nov seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 November.

Menurut SPR, sebanyak 189 borang penamaan calon telah dibeli bagi PRN Melaka setakat Khamis malam dengan 45 bakal calon telah menjelaskan bayaran deposit.

Berdasarkan statistik SPR sebanyak 687,697 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini membabitkan 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan, serta 2,762 anggota polis.

Hari penamaan calon dijangka berlangsung dalam suasana meriah dengan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca cerah pada sebelah pagi di seluruh negeri ini.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 Sept selepas mendapat perkenan daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Pada PRN Melaka 2021, BN membentuk kerajaan selepas menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan, manakala PH menang lima kerusi dan PN dengan dua kerusi. - Bernama