PUTRAJAYA - Pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan Madani dengan 13 Ahli Parlimen merupakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuh kestabilan politik dan memastikan kesinambungan pentadbiran negara sehingga tamat penggal Parlimen.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MadaniĀ (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kesepakatan itui turut memberikan keyakinan bahawa agenda pembangunan ekonomi, pelaksanaan Belanjawan 2027 dan reformasi institusi dapat diteruskan dengan lebih teratur.
Menurutnya, dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar, kestabilan politik dan kepastian dasar merupakan antara asas penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur serta menjamin kesejahteraan rakyat.
"Lebih menarik, ketika masih terdapat pihak yang ghairah dengan percaturan untuk menggugat kerajaan, perkembangan hari ini membuktikan bahawa perbezaan politik tidak semestinya menghalang kerjasama demi kepentingan negara," katanya menerusi hantaran di laman sosial pada Jumaat.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pemeteraian CSA yang dicapai melibatkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta enam Ahli Parlimen Bebas yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi perjanjian itu, kesemua 13 Ahli Parlimen berkenaan bersetuju menyokong pentadbiran Kerajaan Madani sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk Belanjawan 2027.
Sebagai sebahagian daripada persefahaman itu, mereka turut menggesa pelaksanaan reformasi institusi serta pemberian peruntukan pembangunan kawasan setara dengan Ahli Parlimen kerajaan.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berharap kesepakatan berkenaan membolehkan seluruh Ahli Parlimen memberikan tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing, termasuk memastikan dasar dan peruntukan yang diluluskan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat.
"Kestabilan politik bukan sekadar soal siapa yang memerintah, tetapi sejauh mana negara dapat terus melangkah ke hadapan tanpa kemajuan ekonominya terjejas akibat percaturan kuasa," jelas beliau.