SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement-CSA) dengan kerajaan Madani, petang ini.
Perkara itu disahkan oleh salah seorang pemimpin parti itu ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Bagaimanapun, butiran mengenai majlis menandatangani, terma perjanjian serta penyertaan ahli Parlimen terlibat belum dapat diperoleh dan satu sidang media dijangka diadakan berhubung perkara tersebut.
Sebuah portal berita dalam talian melaporkan perjanjian itu akan berlangsung di pejabat Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Persetujuan antara parti itu merangkumi kesemua 19 ahli Parlimen yang masih bersama Bersatu bagi menjamin sokongan terhadap Belanjawan 2027 sekiranya Barisan Nasional (BN) menarik sokongan.
Menerusi perjanjian berkenaan, semua ahli Parlimen berkenaan dijangka menerima peruntukan bagi kawasan Parlimen masing-masing mulai tahun depan.
Persetujuan berkenaan dipercayai bertujuan menyediakan sokongan tambahan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya ketika berdepan pengundian Belanjawan 2027.
CSA itu berpotensi mengubah perkiraan sokongan di Dewan Rakyat serta mengurangkan kebergantungan kerajaan terhadap undi BN.
CSA lazimnya melibatkan persetujuan memberikan sokongan dalam urusan keyakinan terhadap kerajaan dan kelulusan perbekalan, termasuk belanjawan, tanpa semestinya menyertai pentadbiran.