Pertambahan pengundi baharu boleh gugat kerusi majoriti tipis - Penganalisis

SHAH ALAM - Pertambahan hampir 190,000 pemilih berdaftar di Melaka berpotensi mengubah landskap persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, terutama di kerusi yang dimenangi dengan majoriti tipis.

Penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran berkata, kelompok pengundi baharu termasuk pengundi muda yang didaftarkan secara automatik selepas pelaksanaan Undi18 dijangka menjadi antara faktor yang memberi kesan terhadap pola pengundian.

Menurutnya, jumlah pemilih baharu yang besar itu merupakan perubahan ketara berbanding PRN Melaka sebelum ini dan tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut pertambahan angka pengundi.

"Untuk PRN kali ini, hampir 200,000 pengundi baharu merupakan satu perkembangan yang besar dan pertama kali berlaku dalam jumlah sebegitu.

"Ia melibatkan pengundi muda dan kita tidak boleh menafikan kelompok ini akan memberi impak terhadap keputusan pilihan raya, khususnya di kerusi-kerusi yang majoritinya kecil," katanya kepada Sinar Harian.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 14 November depan sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka ke-16, manakala 31 Oktober sebagai hari penamaan calon

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka melibatkan 28 kerusi yang mana pada PRN lalu menyaksikan 21 kerusi milik Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi.

Setakat Julai tahun ini, jumlah pemilih berdaftar di Melaka mencecah 687,697 orang berbanding 495,195 pemilih pada PRN 2021.

Mengulas lanjut, Manimaran berkata, selain pertambahan pengundi baharu, sekurang-kurangnya tiga faktor lain perlu diberi perhatian iaitu sentimen terhadap parti, bentuk kerjasama politik serta kemungkinan berlaku protes atau sabotaj dalaman.

Menurutnya, perkembangan berkaitan kerjasama politik antara BN dan parti-parti lain termasuk PN juga boleh mempengaruhi keputusan, terutama dalam usaha menarik sokongan pengundi Melayu.

"Di atas kertas BN dijangka tidak berdepan kesukaran untuk mengekalkan pentadbiran di Melaka, malah peluang untuk BN menambah kerusi juga lebih terbuka susulan kerjasama dengan PN kali ini.

"Sekarang ini, rakyat terutama pengundi muda tidak lagi hanya melihat kepada faktor calon dan parti tetapi isu sentimen juga boleh memberi kelebihan kepada mana-mana parti sekiranya berjaya meyakini pengundi," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai krisis MCA dan BN Melaka boleh memberi kesan kepada persediaan gabungan itu, Manimaran tidak menolak kemungkinan tersebut.

Beliau berkata, sekiranya kemelut itu tidak ditangani dengan baik, ia boleh merencatkan usaha BN untuk menawan lebih banyak kerusi terutama di DUN yang mencatatkan majoriti tipis.

"BN tidak boleh memandang mudah isu MCA atau sentimen di peringkat akar umbi. Keyakinan itu penting tetapi jangan sampai menyebabkan mereka membuat perkiraan yang silap.

"PH pula mempunyai peluang untuk menambah kerusi berdasarkan beberapa faktor tetapi ia bergantung kepada sejauh mana mereka dapat menarik sokongan pengundi, khususnya pengundi Melayu," katanya.

Beliau berkata, perubahan komposisi pengundi juga menyebabkan kerusi yang sebelum ini dianggap selamat tidak semestinya kekal demikian, terutama jika berlaku peralihan sokongan beberapa peratus sahaja.

"Kalau majoriti sesuatu kerusi kecil, perubahan beberapa ribu undi pun sudah cukup untuk mengubah keputusan.

"Sebab itu pertambahan pengundi hampir 200,000 ini perlu dilihat mengikut taburan setiap DUN, bukan secara keseluruhan sahaja," kata beliau.