SHAH ALAM - Kerajaan digesa mempercepatkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan mahkamah memerintahkan bayaran pampasan kepada mangsa atau waris, khususnya kes mengakibatkan kematian dan kecederaan parah selain keperluan membentangkannya di Dewan Rakyat seawal sidang pertama tahun depan.
Gesaan itu dibuat oleh 13 pemimpin akar umbi DAP susulan tragedi membabitkan seorang pekerja penyelenggaraan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang maut selepas dilanggar individu dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Sultan Iskandar pada Sabtu lalu.
Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam, Nor Miswary Ramli berkata, pihaknya turut menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tragedi menyayat hati itu.
Menurut beliau, ini termasuk meneliti sama ada fakta dan keterangan kes memenuhi elemen kesalahan membunuh di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada pertuduhan di bawah Seksyen 302.
"Ia tertakluk kepada bukti dan keputusan pihak pendakwaan seperti dalam dua kes pemandu mabuk sebelum ini yang didakwa di bawah Seksyen 302.
"Kerajaan juga perlu mengkaji pindaan Seksyen 510 Kanun Keseksaan supaya hukuman terhadap perlakuan mabuk yang mengganggu ketenteraman awam atau membahayakan orang lain lebih berkesan, di samping memperkukuh intervensi awal dan pemantauan di tempat awam secara berkadar," katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama termasuk Pengerusi DAP Cawangan Setia Impian, Muhammad Shakir Ameer Mohideen; Pengerusi DAP Cawangan Bandar Baru Bangi, Farhan Haziq dan Pengerusi DAP Cawangan Kampung Tunku SS1, Mohd Aslam Ahmad Ramli.
Turut sama, Setiausaha DAP Cawangan Taman Kemuncak, Izzul Afiq; Setiausaha DAP Cawangan Pekan Paloh, Abdul Majid Abd Aziz; Naib Ketua DAPSY Selangor, Nur Rahim Nasir; Ahli DAP Cawangan Alam Jaya, Edry Faizal; dan Ahli DAP Cawangan Kampung Baru Bt 9 Cheras, Shukri Mokhtar.
Selain itu, Ahli DAP Taman Kemuncak, Muhammad Najib Anuar; Ahli DAP Taman Kemuncak, Muhammad Muzamir Abdul Rahman; Ahli DAP Bandar Baru Bangi, Muhammad Nurhadi dan Ahli DAP Cawangan Taman Seroja, Azfar Faruqi Mohamad Idris.
Sebelum ini, seorang pekerja kontraktor DBKL dilaporkan maut, manakala rakannya cedera akibat dirempuh kereta dipandu lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol.
Dalam kejadian jam 5 pagi pada Sabtu itu, mangsa dikatakan sedang mengemas peralatan selepas selesai kerja memasang papan tanda amaran di Lebuhraya Sultan Iskandar di ibu negara.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan, kemalangan berlaku di laluan dari arah Jalan Damansara menghala ke Jalan Parlimen.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar dua pekerja yang berada di lorong kiri jalan.
Mengulas lanjut, Pemuda DAP turut membandingkan pendekatan Singapura yang melaksanakan undang-undang lebih ketat terhadap pemanduan di bawah pengaruh alkohol, termasuk langkah mengawal pengambilan alkohol dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, pendekatan sedemikian wajar dikaji dengan mengambil kira konteks undang-undang Malaysia bagi meningkatkan aspek pencegahan, penguatkuasaan dan akauntabiliti terhadap pemandu yang membahayakan nyawa orang lain.
Dalam jangka panjang, Pemuda DAP turut mencadangkan pendekatan 'whole-of-government' membabitkan PDRM, Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pihak berkuasa tempatan.
"Usaha ini perlu merangkumi penguatkuasaan bersasar, pendidikan awam, tanggungjawab pengendali premis dan penyediaan pengangkutan alternatif selepas pengambilan alkohol.
"Nyawa rakyat tidak boleh terus-menerus terkorban akibat kecuaian orang lain berulang-ulang kali. Punca masalah perlu dikaji dan diatasi segera.
"Keadilan kepada mangsa serta keluarganya mesti ditegakkan, manakala reformasi undang-undang perlu disegerakan," ujarnya lagi.