MELAKA – Pengumuman Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka dibubarkan pada Selasa bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Berdasarkan maklumat sumber, surat pembubaran DUN berkenaan difahamkan telah ditandatangani dan pengumuman rasmi dijangka dibuat pada sebelah petang.
Sidang media berhubung pembubaran itu dijangka diadakan selepas mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka dan Post- Mesyuarat Exco yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Difahamkan, surat jemputan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) telah diterima semalam bagi hadir ke Seri Negeri jam 2.30 petang ini.
Sebelum ini, Ab Rauf memberi bayangan bahawa pembubaran DUN semakin hampir dengan menyebut tempoh berbaki dua kali Jumaat sebelum sambutan Hari Jadi Melaka.
Penggal DUN Melaka ke-15 dijadualkan berakhir pada 27 Disember 2026 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.
Perhatian kini terarah kepada pengumuman rasmi pembubaran DUN Melaka serta proses seterusnya bagi membolehkan PRN negeri itu diadakan.