KUANTAN – Pakatan Harapan (PH) bersedia bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meskipun belum ada ketetapan mengenai kerjasama dengan mana-mana parti.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pendirian parti itu jelas untuk terus berdepan pihak lawan pada pilihan raya berkenaan.
“Kita belum ada ketetapan berkenaan PRN Melaka, namun bagi Keadilan (PKR), prinsip kita tetap ‘lawan tetap lawan’.
“Jadi kita bersedia mendepani apa jua keadaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Madani Kita di Dewan Serbaguna Sungai Isap Damai di sini pada Sabtu.
Fuziah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan PH bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka.
Mengulas khabar angin mengenai kemungkinan PH bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau berkata, perkara itu belum boleh dipastikan selagi tiada pengumuman rasmi.
“Perkara berdasarkan khabar angin tidak boleh dijadikan sandaran. Kita tunggu sahaja.. kalau tiada pengumuman, bermakna tiada,” katanya.
Menjawab desas-desus DAP bakal keluar daripada gabungan PH, Fuziah berkata, setakat semalam tiada isu berhubung perkara berkenaan.
“Setakat semalam tiada isu pasal DAP keluar. Tapi perkara itu kena tanya DAP, jangan tanya saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, PKR kekal dengan pendirian PH susulan mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung semalam.
Katanya, PKR bersama Majlis Presiden PH menyokong pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, nasihat Peguam Negara Tan Sri Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
“Tiada siapa yang berada di atas undang-undang dan Perlembagaan itu adalah perkara tertinggi.
“PH akan terus membanteras rasuah, tidak akan bertolak ansur dengan kuasa, penyelewengan dan sebagainya serta tidak sekali-kali menerima keadaan di mana ada amalan rasuah dan penyelewengan,” katanya.