Siapa selepas Abang Jo?

SELEPAS hampir sedekad menerajui Sarawak, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mula memberi bayangan bahawa era kepimpinannya menghampiri fasa peralihan apabila berkata, “mungkin ini yang terakhir” pada 13 September lalu.

Abang Johari, 76, tidak memperincikan sama ada kenyataan itu merujuk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), penggal atau tempoh kepimpinannya, sebaliknya menegaskan keputusan akan dibuat apabila tiba masanya sambil menyeru generasi lebih muda dipersiapkan untuk mengambil alih.

Beliau turut menegaskan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai sistem untuk mengenal pasti dan melatih pelapis, sekali gus membuka persoalan siapa yang paling bersedia meneruskan kepimpinan Sarawak selepas era Abang Johari.

Penganalisis Politik, Datuk Dr Jeniri Amir berpandangan kenyataan itu lebih wajar difahami sebagai isyarat Abang Johari sedang mempertimbangkan penggal terakhirnya dan bukannya akan meninggalkan pentadbiran dalam masa terdekat.

“Pada 13 September lalu, beliau sendiri mengaitkan soal peralihan kepimpinan dengan faktor usia, keperluan memberi ruang kepada generasi lebih muda dan kewujudan sistem dalam PBB untuk menyediakan pelapis.

“Dari perspektif sains politik, ini menunjukkan perancangan penggantian telah menjadi sebahagian daripada proses institusi parti, bukan keputusan tergesa-gesa apabila kekosongan berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, kejayaan peralihan bukan hanya bergantung kepada kewibawaan penyandang tetapi kemampuan organisasi menghasilkan pemimpin yang diterima elit parti, akar umbi dan rakan gabungan.

Katanya, PBB mempunyai calon daripada kedua-dua sayap tradisinya, Bumiputera dan Pesaka, tetapi kewujudan pelapis tidak bermakna seorang pengganti tunggal sudah diputuskan.

Keseimbangan dua sayap itu mempunyai sejarah tersendiri dalam PBB. Timbalan Yang Dipertua PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum ini menyifatkan konsensus antara Pesaka dan Bumiputera sebagai antara formula kekuatan parti, walaupun bukan aturan yang termaktub dalam perlembagaan PBB.

Ditanya tokoh yang dilihat mempunyai asas untuk mengambil alih kepimpinan, Jeniri menyebut empat nama berdasarkan hierarki parti, kekananan, pengalaman eksekutif dan penerimaan merentas kelompok.

Antaranya dua Timbalan Yang Dipertua PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Uggah.

Kedua-duanya juga Timbalan Premier Sarawak dan mempunyai pengalaman panjang dalam pentadbiran negeri, selain berada pada kedudukan kanan dalam struktur PBB. Struktur kepimpinan PBB sesi 2025-2028 mengekalkan Uggah dan Awang Tengah sebagai Timbalan Yang Dipertua.

Turut disebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang merupakan Naib Yang Dipertua Kanan PBB, berdasarkan pengalaman luas di peringkat Persekutuan dan penglibatannya dalam rundingan berkaitan MA63.

Setiausaha Agung PBB merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula mempunyai kedudukan penting dalam organisasi parti serta pengalaman panjang di peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan penting jika persoalannya ialah siapa bakal Premier, bukan sekadar pemimpin PBB.

Perkara 6(3)(a) Perlembagaan Sarawak menetapkan Premier dilantik daripada kalangan ahli DUN yang pada pertimbangan Yang di-Pertua Negeri berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ADUN.

Fadillah dan Nanta ketika ini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran Persekutuan, justeru laluan mereka ke jawatan Premier memerlukan mereka terlebih dahulu memenuhi kedudukan sebagai ahli DUN.

Jeniri bagaimanapun menegaskan penentuan akhir tidak semestinya berdasarkan populariti seseorang tokoh.

“Walaupun keempat-empat nama mempunyai kelebihan, penentuan akhirnya berkemungkinan besar dipengaruhi oleh kombinasi kekananan, jawatan dalam parti, kebolehan mengekalkan keseimbangan Bumiputera-Pesaka, penerimaan komponen GPS dan kemampuan mendapatkan keyakinan akar umbi.

“Dalam sistem parti dominan yang kukuh, faktor ‘siapa paling popular’ biasanya kurang penting berbanding ‘siapa paling mampu mengekalkan konsensus’,” jelasnya.

Pada masa sama, Jeniri berpandangan peralihan kepimpinan dalam waktu terdekat kurang munasabah dengan Abang Johari masih menjadi tokoh utama GPS menghadapi PRN akan datang.

Tempoh penuh DUN Sarawak matang pada Februari 2027. Abang Johari pada Julai lalu berkata, kerajaan negeri belum tergesa-gesa memikirkan PRN dan meminta pihak yang bertanya menunggu sehingga Februari.

Jeniri pula menjangkakan PRN berlangsung sama ada akhir November atau awal Disember tahun ini.

“Jika benar ini penggal terakhirnya, penyerahan kuasa pada pertengahan atau sekitar tiga suku penggal baharu mempunyai logik politik.

“Pengganti memperoleh tempoh mencukupi untuk membentuk identiti kepimpinan dan membuktikan prestasi sebelum mandat rakyat diperbaharui,” katanya.

Menurut Jeniri, pengaruh Abang Johari sangat besar, namun kesatuan GPS tidak bergantung kepada personaliti beliau semata-mata.

“Abang Johari mewarisi budaya politik Sarawak yang menekankan kestabilan, rundingan antara etnik dan pengagihan kuasa secara pragmatik.

“Secara institusi, kepentingan bersama seperti kestabilan kerajaan, autonomi negeri, pembangunan dan kekuatan tawar-menawar dengan Putrajaya menjadi insentif untuk GPS terus bersatu selepas beliau,” jelasnya.

Persoalan penggantian itu turut mendapat konteks lebih besar sehari selepas Sambutan Hari Malaysia ke-63 peringkat kebangsaan berlangsung di Kuching pada Rabu, ketika MA63 terus menjadi antara perkara utama dalam hubungan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.

Dalam soal MA63, Jeniri melihat pengganti Abang Johari berkemungkinan meneruskan agenda berkenaan kerana ia bukan lagi agenda peribadi Premier, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada identiti politik GPS.

Katanya, prinsip ‘Sarawak First’, hak perlembagaan negeri, kawal selia sumber dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan telah diinstitusikan dalam dasar serta retorik gabungan.

“Lebih realistik, pemimpin baharu akan meneruskan tuntutan yang belum selesai tetapi mungkin menggunakan gaya perundingan atau keutamaan sektor yang berbeza.

“Bagaimanapun, pengganti tetap perlu membina identiti dan legasi sendiri serta tidak sekadar berada di bawah bayang- bayang Abang Johari.

“Perubahan mungkin muncul dalam bentuk dasar baharu, gaya komunikasi, penekanan sektor atau pendekatan generasi baharu, namun teras politik Sarawak iaitu kestabilan, perpaduan, autonomi dan keutamaan kepentingan negeri berkemungkinan besar kekal,” jelasnya.