KUALA LUMPUR - Kemenangan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak meletakkan parti itu dalam zon selesa.
Sebaliknya kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, parti itu akan membuat persediaan terbaik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam apa jua keadaan
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, ini kerana politik bersifat anjal serta boleh berubah berdasarkan sesuatu isu.
“Politik ini satu endless process (proses yang tidak berkesudahan). Walaupun menang cemerlang di Johor dan Negeri Sembilan, UMNO tidak mahu berada dalam zon yang selesa.
“UMNO akan buat persediaan yang terbaik untuk menghadapi pilihan raya umum. Dalam keadaan macam mana sekalipun kita kena bersedia. Sebab itu macam di Pahang kita buat macam-macam, maksudnya dalam konteks persediaan,” katanya ketika Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 pada Khamis.
Wan Rosdy berkata, rakyat di negeri Pahang sudah boleh menilai prestasi pentadbiran kerajaan negeri setakat ini.
Menurutnya, antara yang dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan UMNO termasuk mengurangkan hutang negeri daripada RM3.2 bilion kepada RM950 juta.
“Pertimbangan saya ialah kita melihat pada mood rakyat. Sebab rakyat akan mengundi. Kerajaan pusat yang ada sekarang ini kita teruskan sebab tidak ada mana-mana parti yang dominan yang boleh tubuhkan kerajaan. Titah Tuanku Agong (tubuhkan kerajaan perpaduan), jadi kita laksanakan.
“Tetapi untuk menghadapi pilihan raya umum, kita kena tengok mood rakyat macam mana,” katanya.
Menurut Wan Rosdy, terdapat tiga pilihan yang boleh dipertimbangkan berkaitan bentuk kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya.
Katanya, keputusan yang dibuat sudah tentu perlu melihat pilihan tepat yang mampu memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).
“Sebenarnya ada tiga sahaja pilihan. Sama ada BN dengan Pakatan Harapan (PH) atau BN dengan Perikatan Nasional (PN) atau BN bertanding solo.
“Jadi kita tengok pilihan mana yang boleh memberi kemenangan kepada kita,” katanya.
Keputusan
Mengulas sama ada UMNO Pahang sudah menilai pihak yang sesuai untuk bekerjasama, Wan Rosdy berkata, perkara itu masih belum diputuskan.
Beliau berkata, sebarang keputusan perlu dibincangkan bersama rakan-rakan di negeri serta dibawa kepada pucuk pimpinan UMNO.
“Menilai tak ada. Cuma kita buat pemerhatian dan saya pun ada minta pandangan dan cadangan. Keputusan masih belum dibuat.
“Saya tidak boleh putuskan seorang. Saya kena bincang dengan rakan-rakan di negeri dan saya mesti bawa kepada pihak atasan dan pihak presiden untuk diputuskan,” katanya.
Mengulas perubahan sokongan terhadap BN selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14, Wan Rosdy berkata, pola pengundi memainkan peranan dalam menentukan sokongan.
Katanya, pola yang lebih ramai, dominan dan berpengaruh boleh mempengaruhi kecenderungan pengundi untuk membuat pilihan.
“Politik bagi saya ialah rakyat, bukan individu. Pola itu yang utama. Kita kena tengok pola pengundi masa ini. Pola individu juga penting tetapi kita utamakan pola rakyat.
“Bila pola itu lebih ramai, lebih dominan, lebih berpengaruh, pola itu yang akan diikuti pengundi,” katanya.
Wan Rosdy berkata, kekalahan BN sebelum ini juga memberi peluang kepada rakyat merasai pemerintahan parti-parti yang berbeza.
Menurutnya, keadaan itu juga membolehkan rakyat membuat perbandingan berdasarkan pengalaman mereka.
“Alhamdulillah kita ambil kekalahan BN sebagai satu hikmah di mana rakyat dapat merasakan pengalaman parti-parti yang memerintah.
“Tetapi yang menyebabkan kita menang kembali di Johor dan Negeri Sembilan kerana mereka merasakan walaupun BN ada kelemahan, tetapi lebih banyak manfaat daripada mudarat sekiranya kembali diberi kepercayaan,” katanya.
Beliau berkata, perubahan pola pengundi bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kejadian atau peristiwa yang menyentuh hati mereka.
Katanya, pengundi akan membuat perbandingan sebelum menentukan pilihan mereka.
“Bukan mudah untuk mengalih pola pengundi ini. Rakyat nak shift sokongan memerlukan kejadian yang menyentuh hati mereka.
“Bukan senang nak kita nak ubah pemikiran ini. Tapi bila ada kejadian yang menyentuh hati mereka, mereka berubah,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, UMNO perlu mendengar pandangan rakyat dan tidak hanya bergantung kepada kecenderungan sokongan terhadap parti.
Beliau berkata, keutamaan terhadap rakyat perlu dilakukan secara berterusan serta tidak bermusim.
“Pokok pangkal bagi saya ialah kena ada engagement dengan rakyat. Kita kena dekati rakyat. Pendekatan ini jangan bermusim. Kita kena faham apa yang rakyat nak.
“Sebab bila rakyat sokong kita, dia menaruh harapan yang tinggi supaya ada kerja-kerja kebaikan untuk keluarga, anak-anak, kampung, negeri mereka dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya lagi, wakil rakyat dan pemerintah tidak seharusnya berpisah daripada rakyat, malah perlu menunjukkan prestasi yang baik.
Beliau turut mengakui UMNO mempunyai kelemahan berdasarkan pengalaman pada PRU14 dan PRU15, namun segera diperbaiki.
“Sebab itulah saya katakan tadi, wakil rakyat dengan rakyat tidak harus berpisah dan mereka wajib mendekati rakyat seberapa rapat yang mungkin dan mesti menunjukkan prestasi yang baik serta mampu menyelesaikan masalah.
“ Kita akui kita ada kelemahan sebelum ini dan kita akan perbaiki,” katanya.