KOTA BHARU - Pas tidak perlu memasukkan larangan perjudian dalam manifesto kerana pendirian parti itu sudah jelas termaktub dalam dasar dan perlembagaannya.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dasar Islam yang menjadi perjuangan Pas sememangnya menolak perjudian sebagai usaha membentuk nilai Islam dalam negara.
“Dasar Pas adalah Islam, seruan Pas adalah Allahuakhbar dan dalam Islam sendiri tidak boleh berjudi.
“Perkara itu sudah ada dalam Perlembagaan Pas, Fasal 5, tidak perlu tunggu manifesto," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Podcast Anak Muda sempena Muktamar Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan Pengkalan Chepa di sini pada Khamis.
**media[3635882]**
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rakaman video Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mencabar Pas meletakkan pengharaman judi dan arak dalam manifesto pilihan raya parti itu.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri Kedah kini sedang menunggu langkah perundangan seterusnya apabila terdapat kemungkinan pengusaha premis perjudian akan membawa kes tuntutan ganti rugi di mahkamah.
“Meraka nak bawa kes untuk ganti rugi, jadi kita lawanlah,” katanya.
Pada masa sama, Muhammad Sanusi berharap masyarakat tidak lagi menjadikan perjudian sebagai jalan mendapatkan keuntungan atau bergantung kepada nasib.
“Tak kiralah orang Kedah, orang mana pun jangan bergantung harap kepada nasib dengan berjudi,” katanya.