Pas yang tutup pintu rundingan damai dengan Bersatu - Tun Faisal

SHAH ALAM – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa Pas menjadi pihak yang terlebih dahulu mencetuskan masalah sehingga hubungan antara kedua-dua parti itu semakin renggang.

Beliau berkata, Pas juga merupakan pihak yang memutuskan hubungan dengan Bersatu selain kini didakwa menutup ruang rundingan damai antara kedua-dua parti berkenaan.

"Yang mula buat hal adalah Presiden Pas, yang putuskan hubungan dengan Bersatu juga adalah Pas, dan yang tutup pintu rundingan damai tu Pas juga," katanya kepada Sinar Ahad.

Sebelum ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui rundingan damai dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sudah tertutup rapat.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, ia susulan perkembangan politik yang berlaku, termasuk tindakan Bersatu bertanding menentang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Malah tegas beliau, beberapa pemimpin Bersatu yang membuat kenyataan terbuka sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Melaka turut memburukkan lagi keadaan.

Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, Bersatu mengambil langkah bertanding menggunakan lambang sendiri selepas mendakwa tidak dilibatkan dalam perbincangan pembahagian kerusi bersama PN.

Dalam pada itu Tun Faisal mendakwa, masalah yang berlaku dalam PN melibatkan Bersatu bermula sejak Februari 2025 apabila Pas dilihat membelakangi hak parti komponen dalam gabungan berkenaan.

"Ia bermula sejak Abdul Hadi dan beberapa orang pemimpin Pas campur tangan dalam urusan dalaman Bersatu sejak Februari tahun 2025.

"Yang melanggar keputusan persetujuan dan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, Perlembagaan PN, berunding di belakang PN dan Bersatu, yang memutuskan hubungan dan menafikan hak Bersatu sebagai parti anggota PN adalah Pas," ujarnya.

Sementara itu Tun Faisal menegaskan, Bersatu kekal sebagai sebuah parti inklusif dan tidak menutup ruang untuk menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana parti.

"Bersatu sentiasa membuka ruang kepada kerjasama dengan parti-parti yang sama aspirasi dan perjuangan dengan kami," ujarnya.