Peluang besar untuk BN menang

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) berpotensi mempertahankan antara 16 hingga 18 daripada 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka dengan jangkaan paling munasabah iaitu 17 kerusi sekiranya memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Sebaliknya jika BN menjalinkan persefahaman politik bersama Perikatan Nasional (PN), gabungan itu berkemungkinan hanya memenangi 15 hingga 17 kerusi dengan 16 kerusi diramalkan sebagai angka paling realistik.

Berdasarkan data keputusan PRN 2021, kedudukan 21 kerusi yang dimenangi BN ketika itu menunjukkan tahap kekuatan yang berbeza dan tidak semuanya boleh dianggap selamat untuk dipertahankan.

Daripada jumlah tersebut, hanya tujuh kerusi dimenangi BN dengan lebih 50 peratus undi, manakala baki 14 kerusi diperoleh dengan sokongan kurang separuh daripada keseluruhan jumlah undi di setiap DUN.

Tujuh kerusi itu ialah Kuala Linggi dengan 51 peratus undi BN, Ayer Limau (51.9 peratus), Lendu (63.9 peratus), Taboh Naning (57.2 peratus), Asahan (56.8 peratus), Ayer Molek (51.1 peratus) dan Merlimau (58.4 peratus).

Keadaan itu menunjukkan angka kemenangan 21 kerusi pada PRN lalu tidak boleh dijadikan ukuran mutlak kekuatan BN kerana sebahagian kerusi dimenangi dalam persaingan pelbagai penjuru dengan margin yang kecil.

Paling ketara ialah Serkam yang dimenangi dengan majoriti 79 undi diikuti Pengkalan Batu (131), Duyong (200), Tanjung Bidara (364), Gadek dan Durian Tunggal masing-masing 559 undi serta Paya Rumput sebanyak 629 undi.

Rekod tiga PRN terakhir iaitu pada 2013, 2018 dan 2021 turut menunjukkan hanya 12 daripada 21 kerusi berkenaan kekal dimenangi BN.

Sebaliknya tujuh kerusi iaitu Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Paya Rumput, Kelebang dan Telok Mas pernah terlepas kepada PH pada PRN 2018 sebelum kembali kepada BN pada 2021.

Pengkalan Batu dan Duyong pula mempunyai kedudukan yang lebih berbeza apabila kedua-duanya dikuasai pembangkang pada PRN 2013 dan 2018 sebelum beralih kepada BN pada 2021.

Corak tersebut memperlihatkan keupayaan BN mempertahankan 21 kerusi sedia ada banyak bergantung kepada bentuk kerjasama dan jumlah penjuru pertandingan serta sejauh mana undi daripada rakan kerjasama dapat dipindahkan kepada calon BN.

Dalam senario kerjasama dengan PH, sokongan kedua-dua gabungan dijangka memberi kelebihan lebih besar kepada BN di beberapa kerusi marginal, sekali gus meletakkan 17 kerusi sebagai jangkaan paling munasabah untuk dipertahankan.

Kerjasama dengan PN pula dijangka menghasilkan kesan yang sedikit lebih rendah di beberapa kawasan tertentu, menyebabkan angka 16 kerusi dilihat lebih realistik berdasarkan pola undi dan kedudukan kerusi pada PRN lalu.

Perbezaan satu kerusi antara dua senario itu mungkin kelihatan kecil, namun dalam DUN Melaka yang mempunyai 28 kerusi, setiap kerusi mempunyai nilai besar dalam menentukan blok yang mampu membentuk kerajaan negeri.

**media[3628574]**

Menurut Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis berkata, undi PH lebih memberi manfaat kepada BN meskipun pada masa sama berkemungkinan hilang sebahagian kelebihan yang diperoleh pada PRN 2021 akibat perpecahan undi pembangkang.

Jelasnya, sebarang kerjasama sama ada dengan PH atau PN untuk PRN kali ini tidak membawa maksud pemindahan undi akan berlaku automatik 100 peratus.

“Saya melihat 14 kerusi ini (BN menang dengan kurang 50 peratus undi) mempunyai kemenangan relatif, tapi bukannya kerusi benar-benar selamat.

“BN menjadi pemenang disebabkan memperoleh undian tertinggi, bukan kerana mempunyai sokongan majoriti mutlak. Dalam pertandingan tiga penjuru, keadaan itu menguntungkan BN tetapi apabila saingan berubah menjadi dua penjuru melalui kerjasama BN-PH, ukuran kemenangan turut berubah.

“Justeru, BN perlu memastikan bukan sahaja undi PH berpindah kepadanya, tetapi pada masa sama pengundi BN sendiri tidak berpindah kepada PN atau melakukan undi protes,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau melihat isu utama bukan sekadar berapa banyak undi PH boleh disalurkan kepada BN tetapi berapa banyak undi BN yang kekal bersamanya meskipun selepas kerjasama dengan PH.

Penganalisis itu turut menjangkakan BN mampu memperoleh lebih 18 kerusi sekiranya kerjasama BN-PH diterima dengan baik di peringkat akar umbi, jentera kedua-dua parti benar-benar bergerak secara bersama dan sebahagian besar pengundi PH sudi menerima calon BN.

“Kalau pemindahan undi PH rendah di mana berlaku undi protes dalam kalangan penyokong mereka, pada masa sama sebahagian penyokong BN beralih kepada PN, maka BN boleh turun sekitar 14 atau 15 kerusi.

“Angka ini lebih realistik berbanding menganggap BN bakal mengekalkan kesemua 21 kerusi hanya kerana pernah menang 21 kerusi pada 2021,” ujarnya.

Mengulas kebarangkalian konteks kerjasama BN-PN pula, Mujibu berpandangan, kedua-dua parti sebenarnya sedang mengubah struktur pertandingan yang membantu BN pada PRN sebelum ini.

**media[3628581]**

Beliau turut menekankan perkembangan yang dianggap sangat penting untuk diambil kira dalam membaca senario BN-PN di Melaka iaitu pengalaman PRN Johor dan Negeri Sembilan lalu.

“Dalam PRN Johor, BN memenangi 48 dari 56 kerusi sedangkan PN tak bertanding di sebahagian besar kerusi. Keadaan ini menunjukkan apabila pertandingan sesama sendiri dikurangkan, sebahagian undi yang sebelum ini berpecah dalam kalangan pengundi Melayu boleh menguntungkan BN kembali.

“PRN Negeri Sembilan pula memberikan petunjuk yang lebih dekat dengan model kerjasama BN-PN kerana kedua-dua blok berjaya melakukan penyelarasan politik hingga memperoleh 25 dari 36 kerusi secara bersama.

“Keadaan ini amat mustahak untuk PRN Melaka kerana jika BN dan PN tidak lagi bertembung secara langsung, mereka bukan sahaja boleh mengelakkan pembaziran undi melalui pertandingan sesama sendiri.

“Tetapi juga mampu mengubah persepsi pengundi terhadap siapa yang mempunyai peluang paling besar untuk menang,” ujar beliau.

**media[3628573]**

Pengundi tidak selesa

Dari satu sisi lain pula katanya, timbul potensi di mana pengundi yang tidak selesa dengan formula penggabungan undi Melayu oleh BN-PN, tiba-tiba berkonsolidasi kepada PH.

Mujibu menjelaskan, ia bermaksud BN-PN boleh menjadi lebih kuat di sesetengah kerusi majoriti Melayu, namun pada masa sama membuka ruang buat PH di kerusi campuran atau bandar.

“Dalam erti kata lain, kerjasama BN-PN tidak semestinya menjadikan semua 21 kerusi BN lebih selamat, sebaliknya ia mungkin hanya mengukuhkan sebahagian kerusi tetapi meningkatkan risiko di kerusi lain,” katanya.

Atas dasar itu, beliau tidak menjadikan keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan yang nyata memihak kepada BN sebagai kayu ukur memandangkan kedua-duanya memiliki sejarah, demografi, calon dan isu tempatan yang berbeza termasuk di Melaka.

“Jika persefahaman BN-PN benar-benar berjaya menyatukan jentera dan sebahagian besar penyokong, saya melihat angka 16 boleh bergerak ke 17 atau 18 kerusi.

“Dalam keadaan yang sangat positif, mungkin lebih tinggi. Jika kerjasama hanya berlaku di peringkat kepimpinan tapi tidak diterima akar umbi, BN boleh turun ke paras 13 hingga 15 kerusi tapi semua angka ini base line sahaja,” katanya.

**media[3628577]**


Kerjasama BN-PH boleh jadi ‘pedang bermata dua’

SHAH ALAM - Undi Perikatan Nasional (PN) terutama Pas secara keseluruhannya lebih mudah diselaraskan dengan Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai kelebihan di kerusi bercampur seperti Pengkalan Batu, Duyong, Gadek dan Kelebang.

Oleh itu ujar beliau, prestasi di setiap kerusi lebih penting berbanding purata keseluruhan di negeri berkenaan.

“Sebagai contoh, Serkam yang memiliki jurang kemenangan kecil pada PRN Melaka 2021 iaitu 79 undi dianggap kerusi paling sensitif kepada turn out dan undi Pas. Jadi, formula persefahaman BN-PN jelas memberi kelebihan.

“Pengkalan Batu di mana PH selaku pencabar utama tapi hanya kalah 131 undi. BN-PH boleh menutup ruang pertandingan tiga penjuru, tetapi calon BN mesti diterima baik oleh pengundi PH.

“Duyong pula hampir sama dengan Pengkalan Batu apabila PH ketinggalan 200 undi sahaja. Jadi, kerjasama BN-PH boleh menjadi ‘pedang bermata dua’ itu pun kalau penyokong PH tidak menerima calon BN,” katanya kepada Sinar Harian.

Sivamurugan bagaimanapun berkata, situasi tidak sama dengan kerusi Tanjung Bidara kerana PN memiliki asas yang nyata memandangkan gabungan itu kalah 364 undi sahaja kepada BN pada pilihan raya lepas.

“Gadek dan Durian Tunggal, masing-masing majoriti hanya 559 undi tapi kedua-dua kerusi dimenangi BN ini sangat terdedah jika undi pembangkang berjaya disatukan,” menurutnya.

Beliau turut menekankan lima faktor berpotensi menyebabkan BN kehilangan kerusi dimenanginya pada 2021 walaupun mempunyai rakan kerjasama.

Faktor tersebut ialah kualiti calon, penerimaan akar umbi terhadap kerjasama, peratusan keluar mengundi atau turn out, pertambahan pengundi baharu serta prestasi kerajaan negeri.

Sivamurugan menambah, perubahan komposisi pengundi selepas PRN 2021 juga mampu mempengaruhi persaingan di peringkat setiap kerusi.

“Dalam PRN yang marginnya kecil, calon ditolak akar umbi boleh menghilangkan kelebihan parti begitu juga turn out.

“Lihat sahaja pada PRN Melaka 2021, kadar atau peratusan keluar mengundi sekitar 65.6 peratus. Ini menunjukkan mobilisasi pengundi boleh mengubah keputusan di kerusi marginal,” ujarnya.

Berdasarkan pengamatan beliau, formula BN-PN di PRN Melaka lebih memberi jaminan dalam usaha membantu BN mempertahankan 21 kerusi DUN kerana undi Pas khususnya lebih dekat dengan BN dari segi demografi pengundi dan isu tempatan.

Bagaimanapun beliau berpendapat bahawa kerusi Serkam, Pengkalan Batu dan Duyong masih berisiko lantaran faktor dinamika calon serta turn out boleh mengatasi formula gabungan.

Justeru, beliau mengakui cenderung kepada BN-PN dengan angka julat 18 hingga 20 kerusi daripada 21 kerusi asas rundingan.

“Kalau tanya formula BN-PH pula, saya ramal sekitar 17 hingga 19 kerusi dari 21 kerusi.

“Tetapi perlu diingatkan sekali lagi yang kerjasama tidak semestinya bermaksud semua undi rakan kongsi berpindah 100 peratus,” jelasnya lagi.