Perwakilan DAP pilih pendekatan pragmatik

SHAH ALAM - Keputusan DAP untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan menerusi 1,857 undian perwakilan bukan semata-mata menyentuh soal prinsip atau kuasa.

Dari segi prinsip, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata, DAP mahu meneruskan agenda pembaharuan yang selama ini diperjuangkannya dan tidak dinafikan tanpa sokongan parti berkenaan, reformasi institusi sukar dilaksanakan.

Dari aspek kuasa pula menurutnya, kedudukan dalam kerajaan memberikan DAP pengaruh terhadap pembuatan dasar dan keputusan penting.

Atas dasar itu, DAP mengambil keputusan kekal dan sokong Kerajaan Perpaduan sehingga habis penggal Parlimen ke-15.

"Undian sebanyak 88.2 peratus daripada perwakilan DAP seluruh negara menunjukkan majoritinya memilih pendekatan lebih pragmatik.

"DAP beranggapan reformasi institusi mesti dilakukan di tahap maksimum dengan tempoh pentadbiran yang berbaki 18 bulan lagi.

"Tetapi, selepas ini DAP perlu membuktikan dengan kuasa yang dimilikinya mampu menghasilkan perubahan. Kalau tak berhasil, ia sudah tentulah memberikan sedikit risiko kepada sokongan akar umbi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Penganalisis politik itu berpendapat, keputusan untuk parti berbilang kaum itu kekal dan terus menyokong Kerajaan Perpaduan turut mempamerkan semangat setiakawan serta kebersamaan dalam konteks perjuangan reformasi.

Pada Ahad, Speaker DAP, Cha Kee Chin yang mengumumkan keputusan itu memberitahu sebanyak 1,857 undi (88.2 peratus) memilih untuk parti kekal dalam kerajaan manakala 242 undi (11.5 peratus) menginginkan DAP keluar daripada gabungan.

Menurut beliau, Persidangan DAP Kebangsaan 2026 mencatatkan kehadiran seramai 2,223 perwakilan dari 14 negeri dengan 2,106 kertas undi dikeluarkan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,099 undi sah, manakala tujuh lagi undi rosak.

Penggal Parlimen ke-15 bermula dengan mesyuarat pertama Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022.

Mengikut Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen akan terbubar selepas lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama jika tidak dibubarkan lebih awal.

Justeru, tempoh maksimum Parlimen ke-15 terbubar sendiri adalah pada 18 Disember 2027 dengan Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.