PH masih ada ruang kembalikan sokongan rakyat - Jimmy Puah

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) masih memiliki ruang untuk mengembalikan sokongan rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) .

Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, penilaian prestasi perlu dibuat selepas PH kecundang di tiga negeri, Sabah, Johor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.

Menurutnya, tempoh sekurang-kurangnya setahun sebelum PRU16 ini perlu dimanfaatkan PKR dengan memfokuskan kepada isu yang dekat di hati rakyat.

**media[3606801]**

“Sebagai orang lama dalam politik, saya merasakan PKR perlu kembali ke perjuangan asal dan melihat semula apakah PKR sudah menunaikan janji-janji serta kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Saya pun tidak pasti bila PRU, sama ada dalam tempoh enam bulan atau setahun ini, PKR terap ada masa untuk perbaiki keadaan dan meraih kembali sokongan rakyat,” katanya selepas mengadakan lawatan di Medan Selera Puteri Wangsa di sini pada Khamis.

Ahli Parlimen Tebrau itu juga menyatakan, beliau berbangga kerana PKR tidak memainkan isu politik identiti sebaliknya kekal dengan isu relevan seperti rasuah dan pembangunan ekonomi.

“Jauhi politik identiti jika mahu sokongan rakyat dan pastikan isu-isu dibawa memberi manfaat kepada pengundi,” katanya.

Beliau mengakui, bukan mudah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menguruskan kerajaan namun ruang yang ada ini boleh diperbaiki terutama usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Semasa sesi lawatan itu, beliau memaklumkan penerima peruntukan RM450,000 daripada Pejabat Perdana Menteri bagi melaksanakan empat projek dibawah DUN Puteri Wangsa.

Ia melibatkan projek menaiktaraf Medan Selera Puteri Wangsa, Surau Al-Siddiq Kampung Baru Sri Aman, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Puteri Wangsa dan Taman Permainan Taman Dato Chellam.