SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan berdepan risiko hilang majoriti di Dewan Rakyat sekiranya DAP sebulat suara memutuskan meninggalkan gabungan itu.
Penyandang Kursi Pengajian Malaysia di Universiti Victoria, New Zealand, Profesor Dr Kartini Aboo Talib Khalid berkata, tindakan sedemikian akan memberi kesan serta-merta terhadap kestabilan kerajaan, sekali gus memaksa rundingan semula pembahagian kuasa antara blok politik.
“Kerajaan akan hilang majoriti sebab berdasarkan struktur sokongan semasa, DAP merupakan blok terbesar dalam Pakatan Harapan (PH).
“Parti itu dilihat sebagai tiang seri kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan dan jika keluar, maka rundingan semula kuasa antara blok politik perlu disegerakan,” katanya.
Dalam pada itu, Kartini berpandangan, keputusan parti yang dipimpin Pengerusi Kebangsaannya, Gobind Singh Deo untuk mengadakan persidangan lebih bersifat strategi politik untuk mengurus persepsi penyokong selain memulihkan kredibiliti parti.
Menurut beliau, DAP ketika ini berdepan persepsi bahawa parti berkenaan semakin hilang pengaruh susulan beberapa siri PRN termasuk di Sabah, Johor dan terbaharu Negeri Sembilan.
“Ramai melihat DAP hilang taring, tidak cukup lantang atau terlebih lantang serta tidak sensitif pada persoalan Melayu, agama dan raja-raja Melayu.
“Tindakan DAP (adakan persidangan) sudah pasti memberi tekanan kepada Perdana Menteri, tetapi ia terkawal dan bukan bertujuan mengugut, sebaliknya mengingatkan bahawa sokongan mereka tidak boleh dipandang enteng atau diambil mudah.
“DAP mahu dilihat sebagai rakan kongsi yang setara dalam kerajaan, bukan sekadar pelengkap majoriti,” ujarnya.
Sementara itu, saintis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, DAP akan menghadapi masalah dalam menyemarakkan akar umbi untuk keluar mengundi sekiranya tiada sebarang perubahan yang dilakukan selepas Persidangan Kebangsaan parti pada 16 Ogos ini.
“Cabaran terbesar DAP kini adalah dalam mencari formula kejayaan baharu.
“Berhadapan dengan angin kuat perpaduan Melayu, jawapan paling baik DAP ialah kembali kepada isu reformasi dan juga memastikan isu kos sara hidup serta kos perniagaan dijaga dengan lebih rapi,” katanya kepada Sinar Harian.