PUTRAJAYA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diadakan seawal September depan bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) memanfaatkan momentum kemenangan yang diraih dalam dua PRN berturut-turut di Johor dan Negeri Sembilan.
Tempoh itu dilihat paling sesuai untuk BN meneruskan gelombang kemenangan di selatan tanah air, selain mengukuhkan persepsi positif pengundi terhadap gabungan berkenaan.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, beliau menjangkakan Ketua Menteri akan menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam tempoh terdekat bagi memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada PRN.
"Saya jangka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam tempoh terdekat untuk mohon pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN Melaka yang saya jangkakan pada awal September 2026.
"Pembubaran DUN tempoh terdekat ini penting bagi memastikan momentum kejayaan BN dari Johor dan Negeri Sembilan dapat dilonjakkan ke Melaka.
"Momentum ini penting bagi mengekalkan persepsi dan tenaga untuk BN Melaka supaya dapat melengkapkan cita-cita Southern Blue Wave dapat direalisasikan oleh BN," katanya kepada Sinar Harian.
Senada dengan itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar turut berpandangan Melaka berkemungkinan menjadi negeri seterusnya mengadakan PRN dengan September disifatkan sebagai tempoh paling sesuai.
"Sudah pasti Melaka akan menyusul. Momentum sekarang bersama gabungan BN-PN (Perikatan Nasional).
"Mereka akan memanfaatkan gelombang ini sepenuhnya untuk memastikan kemenangan kekal kepada penyandang sekarang.
"Jangkaan saya September paling sesuai, namun terpulang kepada kuasa prerogatif Ketua Menteri," jelasnya.
Mengulas peluang Pakatan Harapan (PH) sekiranya PRN diadakan dalam tempoh terdekat, Hisommudin berkata, gabungan itu berdepan cabaran besar untuk merampas penguasaan BN di Melaka.
"Untuk Melaka, kedudukan PH amat mencabar sekali kerana Melaka adalah negeri milik BN.
"Mungkin mengekalkan status quo adalah usaha terbaik PH di sana," ujarnya.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dengan BN menguasai 20 kerusi, sekali gus meletakkan gabungan itu dalam kedudukan selesa menjelang PRN akan datang.
Ab Rauf sebelum ini memberi bayangan PRN Melaka boleh diadakan pada bila-bila masa susulan kejayaan pelaksanaan PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, buat masa ini tiada tarikh tepat untuk beliau bubarkan DUN kerana tempoh akhir penggal adalah pada 31 Disember depan.