SHAH ALAM - Formula persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) diramal mampu meraih majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya kerjasama itu masih diteruskan.
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, situasi itu menjadikan gabungan memerintah di Borneo iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak lagi bakal menjadi ‘king maker’ terutamanya jika berlaku senario Parlimen tergantung.
Beliau menambah, BN-PN bakal menyapu bersih negeri di Semenanjung kecuali Pulau Pinang berdasarkan unjuran semasa.
“Jumlah keseluruhan kerusi dimenangi BN-PN pada PRU 2022 sebanyak 98 kerusi. Angka ‘ajaib’ membentuk kerajaan 112. Hanya 14 lagi kerusi Parlimen diperlukan.
“Tanpa mengambil kira jajaran politik parti di Malaysia Timur dari Sabah dan Sarawak, saya percaya berdasarkan unjuran semasa berkemungkinan besar BN-PN mampu meraih majoriti mudah selepas PRU16,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
BN, PN, dan Pakatan Harapan (PH) bersaing di 171 kerusi Parlimen pada PRU lalu, di mana sebahagian besarnya terletak di Semenanjung termasuk 86 kerusi mempunyai komposisi 65 peratus pengundi Melayu.
Pilihan raya itu membawa kepada Parlimen tergantung apabila PH menang 82 dari 222 kerusi, diikuti PN (74), BN (30), GPS (23), dan GRS (enam).
BN, GPS, dan GRS kemudiannya menyokong Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk Kerajaan Perpaduan sebagai Perdana Menteri.
Terdahulu, penganalisis politik meramalkan PRU16 menyaksikan keputusan hampir sama dengan tiada satu pun parti memperoleh kerusi mencukupi membentuk kerajaan secara bersendirian.