Calon PH DUN Jeram Padang buat bantahan rasmi, dakwa bahan kempen bawa masuk bilik mengundi

JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G Manivanan mengemukakan bantahan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas mendakwa terdapat bahan kempen parti lawan dibawa masuk ke dalam bilik mengundi di saluran 5, Sekolah Kebangsaan (SK) Rompin pada Sabtu.

Beliau berkata, kejadian itu disedari ketika membuat tinjauan di pusat mengundi berkenaan apabila mendapati beberapa pengundi membawa masuk sekeping kertas berwarna biru.

"Saya melihat beberapa pengundi membawa masuk kertas berwarna biru ke dalam bilik mengundi dan kertas itu turut diletakkan di atas meja petugas sebelum diserahkan semula kepada pengundi bersama kertas undi.

"Apabila saya meminta penjelasan, saya mendapati kertas berkenaan mengandungi perkataan 'Undilah Barisan Nasional' berserta logo BN," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Susulan itu, Manivanan berkata, beliau mengemukakan bantahan rasmi kepada SPR dan memohon siasatan dijalankan bagi memastikan integriti proses pilihan raya terus terpelihara.

"Saya turut memohon SPR mengambil tindakan yang difikirkan wajar mengikut peruntukan undang-undang, termasuk mempertimbangkan proses pengundian di saluran berkenaan sehingga kejadian itu dikesan," katanya.