JEMPOL – Datuk Seri Aminuddin Harun kekal menjadi satu-satunya calon Menteri Besar Negeri Sembilan bagi Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri (PRN).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tiada calon lain selain Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu yang dipertimbangkan untuk mengisi jawatan berkenaan.
Menurutnya, beliau sendiri tidak memenuhi syarat kelayakan untuk dilantik sebagai Menteri Besar seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
"Calon Menteri Besar kita hanya seorang saja, itu Tok Min (Aminuddin Harun).
"Calon Menteri Besar untuk Negeri Sembilan amat jelas dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, seorang ADUN Melayu yang beragama Islam. Saya tidak memenuhi syarat kelayakan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja projek siap landasan kereta api di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bahau pada Jumaat.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan siapa calon Menteri Besar PH sekiranya Aminuddin gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi yang disifatkan sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Selain itu, Asyraf Wajdi turut memaklumkan BN mempunya senarai panjang calon yang layak dipertimbangkan menjadi Menteri Besar sekiranya diberi mandat oleh pengundi untuk membentuk kerajaan selepas PRN Negeri Sembilan.