'Kerjasama BN-PN umpama Titanic, boleh karam bila-bila masa' - Hannah Yeoh

SHAH ALAM - Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diibaratkan seperti kapal dalam filem Titanic yang akan karam pada bila-bila masa sahaja kerana tidak memiliki nilai politik persahabatan.

Timbalan Setiausaha DAP, Hannah Yeoh berkata, mereka bersorak gembira pada awal pelayaran, namun karam akhirnya akibat melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat berada di depan.

Menurutnya, ini kerana masing-masing bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan akan memijak satu sama lain untuk naik ke atas.

"Malam tadi saya turun berkempen di Kuala Klawang, Jelebu untuk membantu sahabat saya Datuk Ir Bakri Sawir yang bertanding mempertahankan kerusi Pakatan Harapan (Harapan) di DUN Klawang yang telah dimenanginya pada tahun 2018 dan 2023.

"Saya juga ingatkan kepada mereka yang hadir supaya tidak risau atau teruja melihat kerjasama antara BN dan PN.

"Kerjasama itu tidak akan kekal lama kerana ia dibayangi dengan pengkhianatan dan mereka yang tidak setia kepada sebuah politik persahabatan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Tambah Hannah, BN dan PN hanya mahu pucuk pimpinan masing- masing yang dijulang, bukannya rakan kerjasama mereka berjaya.

Jelasnya, begitulah perumpamaan kerjasama kedua-dua parti gabungan itu hari ini.

"Namun, kami Harapan setia berjuang dan mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga beliau diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10 hari ini.

"Kami kekal dengan hanya seorang kapten dalam sebuah nakhoda.Memenangkan calon-calon Harapan adalah simbol kita mempertahankan nilai sebuah politik persahabatan," ujarnya.