Cadangan PBN belum pernah dibincang secara rasmi - Ahmad Zahid

GEORGE TOWN - Cadangan mewujudkan persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menerusi nama Perikatan Barisan Nasional (PBN) masih belum dibincangkan secara rasmi oleh kedua-dua pihak.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini cadangan tersebut hanya dibangkitkan dalam ucapan kempen dan belum pernah melalui sebarang perbincangan rasmi.

Menurutnya, sekiranya cadangan itu benar-benar ingin direalisasikan, ia perlu diperhalusi menerusi perbincangan rasmi terlebih dahulu.

“Perkara itu hanya disebut dalam ucapan ketika kempen. Tiada sebarang perbincangan rasmi mengenainya.

“Kalau cadangan itu serius, adakan perbincangan secara rasmi dan perincikan terlebih dahulu. Jika sekadar disebut ketika kempen, ia perlu diperhalusi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelerasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) ke-61 di Teluk Bahang di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara), Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan mencadangkan supaya persefahaman antara PN dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dikenali sebagai PBN.

Menurut Hamzah, penggunaan nama tersebut bertujuan memudahkan rakyat memahami bentuk kerjasama antara kedua-dua gabungan selain mengelakkan kekeliruan apabila menyebut PN dan BN secara berasingan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO yakin isu kebimbangan berhubung kemungkinan berlaku boikot dalam kalangan akar umbi parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang dapat diselesaikan sebelum hari pengundian.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memandangkan DUN berkenaan berada dalam kawasan Parlimen pemimpin itu.

“Saya telah berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan perkara itu kini dalam proses penyelesaian.

“Kita masih mempunyai kira-kira sembilan hari sebelum hari pengundian dan saya percaya isu itu dapat diselesaikan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, UMNO DUN Klawang tidak bersetuju sekiranya calon luar bertanding menggunakan lambang BN pada PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos nanti.

Penyelaras UMNO DUN Klawang, Azmi Selamat berkata, ia berikutan ada khabar angin mendakwa UMNO bersetuju mahu meletakkan anak kepada seorang tokoh politik yang bukan ahli UMNO sebagai calon menggunakan lambang BN.

Katanya, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan ia sesuatu yang amat mendukacitakan sekiranya dakwaan berkenaan adalah benar.