Jalaluddin sedia debat Tok Min

JELEBU - Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan beliau tidak mempunyai hasrat mencabar mana-mana pihak untuk berdebat secara terbuka, namun bersedia menerima pelawaan sekiranya dikemukakan pihak lawan.

Jalaluddin yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang tawaran untuk berdebat.

Menurutnya, BN juga tidak mengambil pendekatan mencabar calon daripada parti lain untuk berdebat secara terbuka.

“Barisan Nasional tak ada cabar-mencabar untuk berdebat secara terbuka ataupun untuk kita berada di satu platform yang kita katakan menjadi amalan sebelum ini dengan beberapa parti yang lain.

“Saya tidak ada hasrat untuk cabar-mencabar tetapi kalau itu dilakukan oleh pihak lawan, saya tidak keberatan,” katanya kepada Sinar Harian di Kompleks UMNO Jelebu, Simpang Pertang pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada bersedia berdebat dengan Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min yang dinamakan Pakatan Harapan (PH) sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan.

Jalaluddin menjelaskan, beliau tidak mempunyai masalah menerima pelawaan sedemikian sekiranya ada pihak mahu mencabarnya mengenai sebarang isu.

“Kalau ada, saya okey sahaja. Tak pernah orang jual, saya tak beli. Kalau ada orang cabar saya, kalau ada orang jual, saya beli. Sebarang isu,” katanya.

Pertanyaan mengenai kemungkinan debat itu timbul kerana Jalaluddin merupakan antara tokoh utama BN di negeri berkenaan, selain mengetuai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-BN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin pada 27 April lalu.

Bagaimanapun, kesemua ADUN berkenaan kemudian bersetuju meneruskan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan negeri demi kestabilan politik, manakala UMNO Negeri Sembilan mengekalkan pendirian hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin.

Ketegangan antara kedua-dua blok turut meningkat apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini mendakwa pihak yang mengambil kesempatan ketika krisis negeri untuk menarik sokongan terhadap Aminuddin dan cuba menjatuhkan kerajaan sebagai 'pengkhianat dan penderhaka kepada sistem raja berperlembagaan'.

Bagaimanapun, Anthony tidak menamakan mana-mana individu atau parti dalam ucapannya, sebaliknya menyatakan pihak berkenaan pernah menarik sokongan terhadap Tok Min ketika kemelut politik dan adat melanda Negeri Sembilan.

ARTIKEL BERKAITAN: Persepsi Jalaluddin 'penderhaka' berisiko jadi liabiliti BN Negeri Sembilan - Penganalisis

Presiden UMNO sudah jawab isu pengkhianatan - Jalaluddin 

Isu perdebatan antara pemimpin utama turut menjadi polemik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini selepas calon PH DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membentangkan visi gabungan itu.

RTM, Astro Awani dan Sinar Harian kemudian menawarkan platform Dialog PRN Johor kepada kedua-dua tokoh, namun Onn Hafiz tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lebih awal dan berpandangan Maszlee sepatutnya berdialog dengan calon yang bertanding di kawasan sama dengannya.

Program berkenaan tetap diteruskan bagi menyediakan ruang kepada rakyat mendengar pandangan mengenai dasar, hala tuju dan isu semasa negeri itu.