SEREMBAN – “Saya tidak mahu anak-anak Negeri Sembilan membesar dengan impian untuk meninggalkan negeri ini.”
Demikian tekad Datuk Seri Aminuddin Harun ketika menggariskan visi besar untuk menjadikan Negeri Sembilan bukan lagi sekadar negeri persinggahan, sebaliknya muncul sebagai pusat pertumbuhan baharu Malaysia yang menawarkan pekerjaan, kediaman dan masa depan lebih baik kepada rakyatnya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, impiannya bukan sekadar melihat lebih banyak kilang dibina, pelaburan dibawa masuk atau bangunan tinggi didirikan.
“Saya mahu mereka membesar dengan keyakinan bahawa masa depan terbaik mereka berada di bumi yang mereka cintai ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan di sini, Isnin.
Menurut Aminuddin, PH kembali menemui rakyat bukan dengan janji kosong atau retorik yang hanya indah didengar, tetapi membawa rekod pentadbiran, hasil yang telah dicapai dan pengalaman sepanjang lapan tahun memimpin negeri.
“Hari ini kami datang semula kepada rakyat. Bukan dengan janji kosong. Bukan dengan retorik yang indah didengar tetapi sukar dilaksanakan.
“Kami datang dengan rekod, dengan hasil, dengan pengalaman dan yang lebih penting, dengan satu visi lebih besar untuk membawa Negeri Sembilan melangkah ke hadapan,” katanya.
Aminuddin berkata, selepas lapan tahun membina asas pentadbiran yang kukuh, Negeri Sembilan kini bersedia untuk melakukan lonjakan lebih besar menerusi visi Central Corridor Pembangunan Harapan Malaysia.
Visi itu meletakkan Negeri Sembilan sebagai penghubung strategik antara Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka dalam satu ekosistem pertumbuhan yang merangkumi teknologi, logistik, pelaburan, inovasi, pelancongan serta modal insan.
Menurutnya, projek seperti Malaysia Vision Valley 2.0, NS Semiconductor Valley, Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City, Seremban Sentral, Hospital Enstek dan jaringan logistik baharu digerakkan dengan satu tujuan utama, iaitu mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi serta meningkatkan pendapatan rakyat.
Katanya, inisiatif berkenaan juga bertujuan menarik pulang bakat terbaik Negeri Sembilan yang sebelum ini terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk mendapatkan peluang pekerjaan.
Dalam mengejar pembangunan, Aminuddin menegaskan Negeri Sembilan tidak boleh kehilangan identiti, budaya dan jiwanya.
Menurutnya, beliau mahu negeri itu dikenali bukan hanya kerana kemajuan industrinya, tetapi juga kerana keseimbangan pembangunan antara bandar dengan desa, ekonomi dengan alam sekitar serta kemajuan fizikal dengan kesejahteraan manusia.
“Kalau Jepun mempunyai Hokkaido, saya mahu Malaysia mempunyai Negeri Sembilan. Bukan kerana kita mahu meniru Hokkaido, tetapi kerana kita mahu membuktikan bahawa sebuah negeri boleh maju tanpa kehilangan jiwanya,” katanya.
Aminuddin turut mengakui perjalanan lima tahun akan datang bukan mudah berikutan perubahan ekonomi dunia, persaingan pelaburan dan cabaran global yang semakin sengit.
Namun, beliau berjanji untuk terus mempertahankan kestabilan, mengurus kewangan negeri secara berhemah serta membuka lebih banyak peluang kepada anak muda sekiranya diberikan amanah.
Beliau turut berikrar memperkukuh institusi Islam, memelihara Adat Perpatih dan mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk yang menjadi kekuatan Negeri Sembilan.
“Lapan tahun lalu, rakyat memberikan kepercayaan kepada kami. Kepercayaan itu bukan kami anggap sebagai kemenangan, tetapi sebagai amanah.
“Masih banyak cabaran yang perlu kita hadapi dan masih banyak impian rakyat yang perlu kita realisasikan. Namun, asas yang kukuh telah kita bina. Kini tiba masanya untuk kita melangkah lebih jauh,” katanya.
Aminuddin berkata, tempoh lima tahun akan datang perlu menjadi detik Negeri Sembilan beralih daripada sebuah negeri yang sekadar berkembang kepada negeri yang memimpin pertumbuhan negara.
“Marilah kita bina Negeri Sembilan yang lebih makmur, lebih berdaya saing, lebih inklusif, lebih lestari dan lebih membanggakan.
“Bukan untuk kita sahaja, tetapi untuk anak-anak dan cucu-cucu yang akan mewarisi negeri ini. Lapan tahun membina, lima tahun melonjak. Negeri Sembilan Maju 2045,” katanya.