SHAH ALAM - Penetapan hari mengundi adalah bidang kuasa mutlak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebaik sahaja Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan atau pemimpin politik.
Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, dalam melaksanakan tanggungjawab itu, SPR akan memastikan semua keputusan dibuat secara bebas dengan mengambil kira prinsip level playing field bagi menjamin semua pihak yang bertanding diberi layanan sama rata.
Jelasnya, SPR tidak pernah menjadikan kepentingan mana-mana parti politik termasuk parti pemerintah sebagai pertimbangan dalam menetapkan tarikh penting pilihan raya khususnya hari mengundi.
"Apabila Parlimen atau DUN dibubarkan, tanggungjawab menetapkan tarikh pilihan raya termasuk hari mengundi terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa SPR.
"Tiada mana-mana pihak yang berhak atau boleh campur tangan dalam keputusan itu kerana ia adalah tanggungjawab SPR," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas amalan menetapkan hari mengundi pada Sabtu, Wan Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor terutama keselesaan pengundi serta kelancaran pengurusan operasi pilihan raya.
Beliau berkata, selain memberi peluang kepada orang ramai keluar mengundi pada hujung minggu, pemilihan hari Sabtu turut berkait rapat dengan penggunaan bangunan sekolah yang menjadi pusat mengundi utama di negara ini.
Jelasnya, kebanyakan persiapan menukar bilik darjah kepada saluran mengundi dilakukan sebaik sahaja sesi persekolahan tamat pada petang Jumaat sebelum hari pengundian.
**media[3575937]**
"Apabila pengundian selesai pada Sabtu, petugas SPR ada sepanjang hari Ahad untuk mengembalikan semula bilik darjah kepada keadaan asal supaya sesi persekolahan dapat berjalan seperti biasa pada Isnin.
"Jika pengundian dibuat pada Ahad, petugas yang bertugas sehingga lewat malam menguruskan proses pengiraan undi dan pengumuman keputusan perlu pula mengemas semula bilik darjah pada Isnin, sekali gus boleh menjejaskan proses pembelajaran di sekolah," ujarnya.
Beliau berkata, kira-kira 90 peratus pusat mengundi di Malaysia menggunakan bangunan sekolah, justeru aspek itu menjadi antara pertimbangan utama SPR dalam memilih hari Sabtu sebagai hari mengundi.
Selain itu, katanya, pemilihan hari Sabtu juga memudahkan urusan agensi lain yang terbabit dalam pengendalian pilihan raya termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), pejabat daerah serta pelbagai agensi kerajaan yang menjadi petugas pilihan raya.
Menurutnya, ramai anggota polis yang ditugaskan ketika pilihan raya datang dari luar kawasan dan memerlukan masa untuk kembali ke tempat asal selepas tamat tugas.
"Begitu juga pegawai dan kakitangan pejabat daerah yang bertindak sebagai petugas pilihan raya. Mereka dapat berehat pada Ahad sebelum kembali bertugas seperti biasa pada Isnin," jelasnya.
Mengulas cadangan mengadakan hari mengundi pada Ahad, Wan Ahmad berkata, ia mungkin menimbulkan beberapa cabaran dari segi operasi serta logistik.
Katanya, berdasarkan pengalamannya, kira-kira 20 peratus pengundi dalam sesuatu kawasan pilihan raya terdiri daripada mereka yang tinggal di luar kawasan dan perlu melakukan perjalanan jauh untuk pulang mengundi.
"Jika mengundi pada Ahad, hari itu juga menjadi waktu mereka perlu pulang semula ke tempat bekerja, sekali gus menyukarkan sebahagian pengundi," tambahnya.
Wan Ahmad berkata, sepanjang hari pengundian, seluruh kawasan pusat mengundi yang kebanyakannya berada di sekolah turut diwartakan sebagai kawasan larangan dan hanya petugas SPR, pengundi serta anggota polis dibenarkan berada di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, semua saluran mengundi akan ditutup selepas proses pengiraan undi selesai sebelum peti undi dibawa ke pusat penjumlahan rasmi.
"Pada hari Ahad, petugas SPR akan mengemas semula bilik darjah.
"Atas faktor itulah, hari Sabtu adalah hari paling sesuai untuk urusan pengundian pilihan raya di Malaysia," ulasnya.