JOHOR BAHRU - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Pannir Selvam bertekad membawa angin perubahan di kawasan itu selepas hampir dua penggal berada di bawah pentadbiran wakil rakyat DAP.
Menurut beliau, sudah tiba masanya rakyat Perling diberikan pilihan baharu selepas semakin ramai penduduk menyuarakan rasa kecewa terhadap prestasi penyandang yang didakwa gagal memberikan perhatian sewajarnya terhadap pelbagai isu setempat.
Katanya, sebagai anak Johor yang membesar dalam masyarakat berbilang kaum, beliau memahami keperluan sebenar rakyat yang mahukan seorang wakil rakyat sentiasa turun padang, mudah didekati dan mampu menyelesaikan masalah tanpa mengira latar belakang.
"Saya bukan datang sekadar mahu bertanding pilihan raya, tetapi mahu mengembalikan keyakinan rakyat bahawa seorang wakil rakyat perlu sentiasa berada bersama masyarakat, mendengar denyut nadi mereka dan bekerja setiap hari, bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya," katanya.
Pannir berkata, pencalonannya turut mencipta sejarah apabila menjadi calon pertama daripada MIC mewakili BN di DUN Perling, sekali gus memecahkan tradisi kerusi berkenaan yang sebelum ini lazimnya ditandingi oleh MCA.
**media[3573977]**
Beliau menyifatkan kepercayaan yang diberikan kepimpinan BN sebagai satu amanah besar yang akan dibalas dengan kerja keras dan komitmen penuh sepanjang kempen serta sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan BN di peringkat Pusat, negeri dan Bahagian Pulai khususnya Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed kerana memberikan keyakinan kepada saya untuk memikul tanggungjawab besar ini.
"Dalam masa sama, saya juga amat menghargai semangat setiakawan MCA yang memberi laluan kepada saya daripada MIC untuk membawa panji-panji BN di Perling. Inilah kekuatan sebenar Barisan Nasional yang sentiasa mengutamakan semangat muafakat dan kemenangan pasukan mengatasi kepentingan individu," katanya.
Menurut Pannir lagi, pencalonannya bukan sekadar mewakili MIC, malah menjadi simbol penghargaan BN terhadap sumbangan masyarakat India yang telah lama menjadi sebahagian daripada pembangunan Johor, khususnya di bandar raya Johor Bahru.
**media[3573979]**
Beliau berkata, masyarakat India merupakan antara komuniti penting di Johor Bahru dan memainkan peranan besar dalam pelbagai sektor ekonomi, pendidikan serta perkhidmatan awam, justeru peluang yang diberikan kepadanya membuktikan BN terus mengamalkan politik keterangkuman dan memberi ruang kepada semua kaum untuk menyumbang kepada negeri.
"Saya melihat pencalonan ini bukan kemenangan individu atau sesuatu kaum semata-mata. Sebaliknya ia adalah pengiktirafan kepada seluruh masyarakat India yang selama ini setia menyumbang kepada pembangunan Johor.
"Namun lebih penting daripada itu, saya bertanding bukan sebagai calon kaum India, tetapi sebagai calon Bangsa Johor," katanya.
Pannir berkata, beliau mahu menghapuskan stigma politik perkauman yang masih dimainkan segelintir pihak dan membuktikan bahawa rakyat hari ini lebih mengutamakan keikhlasan, integriti serta keupayaan seseorang pemimpin berkhidmat.
"Saya dilahirkan, dibesarkan dan membesar dalam komuniti majmuk Bangsa Johor. Saya belajar bahawa jiran saya bukan dinilai melalui kaum atau agama, tetapi melalui hubungan persaudaraan dan saling menghormati.
"Oleh itu, sekiranya diberikan mandat, saya akan menjadi wakil rakyat kepada semua. Pintu pusat khidmat saya akan sentiasa terbuka tanpa mengira bangsa, agama, fahaman politik mahupun latar belakang," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Perling memerlukan seorang wakil rakyat yang benar-benar fokus kepada penyelesaian isu harian seperti kebersihan, penyelenggaraan infrastruktur, keselamatan kawasan perumahan, kesesakan lalu lintas, kemudahan awam serta kebajikan penduduk.
Menurutnya, rakyat sudah semakin matang dan kini menilai pemimpin berdasarkan rekod perkhidmatan, bukannya retorik politik.
"Perling mempunyai potensi besar sebagai antara kawasan bandar paling progresif di Johor Bahru. Apa yang diperlukan ialah kepimpinan yang bekerja, bukan sekadar berpolitik.
"Saya mahu membawa budaya politik yang lebih matang iaitu politik yang menyelesaikan masalah, bukannya mencari salah. Politik yang menyatukan rakyat, bukannya memecah-belahkan masyarakat," katanya.
Pannir optimis semangat baharu yang dibawa BN mampu mengubah landskap politik Perling apabila semakin ramai pengundi mahukan perubahan selepas dua penggal kawasan itu berada di bawah pentadbiran DAP.
**media[3573978]**
Beliau percaya sokongan daripada seluruh jentera BN serta penerimaan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat mampu menjadi pemangkin untuk merampas kembali kerusi berkenaan sekali gus membuka lembaran baharu kepada pembangunan Perling.
"Perling bukan milik mana-mana parti politik. Perling adalah milik rakyat. Saya hanya memohon peluang untuk membuktikan bahawa politik yang berteraskan khidmat, perpaduan dan keikhlasan masih mempunyai tempat di hati rakyat.
"Sudah tiba masanya Perling melangkah ke hadapan bersama semangat baharu demi masa depan yang lebih baik untuk semua," katanya.- AVERTORIAL