PRN Johor: Isu banjir, tambak sesak jadi misi bersama calon PH Greater JB

JOHOR BAHRU – Lima calon Pakatan Harapan (PH) di kawasan Greater Johor Bahru memilih untuk memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, termasuk masalah banjir dan kesesakan lalu lintas di pintu sempadan.

Penyandang dan juga calon bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Stulang, Andrew Chen Kah Eng, antara isu yang menjadi fokus bersama lima calon terbabit ialah pengangkutan awam, pengurusan bencana, penjagaan kanak-kanak, kebajikan warga emas serta isu rentas sempadan Johor-Singapura.

"Kesemua isu itu akan diperjuangkan secara kolektif oleh calon-calon PH di kawasan Greater Johor Bahru sekiranya diberi mandat pada PRN kali ini.

"Bukan seorang calon hanya menjaga satu isu semata-mata. Kami akan bergerak sebagai satu pasukan untuk memantau, membawa cadangan dan melaksanakan penambahbaikan terhadap semua isu ini demi kepentingan rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

**media[3572856]**

Sementara itu, calon Dun Perling, Alan Tee Boon Tsong berkata, pengurusan banjir antara keutamaan memandangkan beberapa kawasan di Greater Johor Bahru berdepan kejadian itu hampir setiap tahun.

Ujarnya, tidak dinafikan mungkin ada perubahan iklim dan pemanasan global, tetapi pada masa sama tidak boleh dinafikan masalah (banjir) berkenaan boleh dielakkan.

"Saya ambil contoh tahun lepas Mac 2025 berlaku banjir serius di kawasan Perling, keluarga terjejas lebih 1,000 keluarga. Itu sepatutnya boleh dielakkan.

"Sekiranya kami diberikan mandat, kami akan pantau pemaju di Johor Bahru adakah sudah keterlaluan, khususnya di Perling dan Iskandar Puteri...Banjir itu cuma sebab sumbat di parit sahaja, so adakah kontractor menjalankan tugas mengikut jadual?" katanya.

Bagi calon Dun Johor Jaya pula, Lee Wern Yiing berkata, mengenai pengangkutan awam, PH mahu menambah baik perkhidmatan bas dengan meningkatkan kekerapan perjalanan, menyediakan maklumat laluan yang lebih jelas serta memastikan ketepatan masa bagi menjadikan perkhidmatan lebih dipercayai.

Selain itu, katanya, tumpuan turut diberikan kepada usaha meningkatkan kesalinghubungan antara mod pengangkutan termasuk bas, rel dan kenderaan persendirian.

"Kemudahan pejalan kaki juga perlu dipertingkatkan melalui pembinaan laluan yang lebih selamat serta penambahan lintasan pejalan kaki bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam," katanya.

Dalam pada itu, calon PH bagi Skudai, Kartiyaini Jeyapalan berkata, kebajikan warga emas perlu diberi perhatian memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat menua.

Katanya, antara cadangan yang diketengahkan ialah memperbanyakkan pusat komuniti dan aktiviti sosial, meningkatkan kemudahan awam yang mesra warga emas, mengukuhkan kerjasama dengan institusi perubatan dan agensi kebajikan serta menyediakan sokongan kepada keluarga yang menjaga ibu bapa berusia.

"Kita mahu warga emas dapat hidup dengan lebih selesa dan pada masa sama memberi ketenangan kepada ahli keluarga yang keluar bekerja atau belajar," katanya.

Mengulas isu rentas sempadan, Andrew berkata, PH akan terus memantau usaha menambah baik kelancaran trafik di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura melalui penggunaan teknologi serta cadangan penyelesaian yang bersesuaian.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Rentas Sempadan Johor-Singapura di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membolehkan isu berkaitan kesesakan, ekonomi rentas sempadan dan hubungan Johor-Singapura dibincangkan secara lebih menyeluruh.