Presiden UMNO sudah jawab isu pengkhianatan - Jalaluddin

SHAH ALAM – Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan bahawa kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah mewakili pendirian parti berhubung dakwaan wujud sedikit unsur pengkhianatan dalam kerjasama politik di Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, penafian yang dibuat Ahmad Zahid sebelum ini sudah memadai dan tidak memerlukan sebarang ulasan tambahan daripada beliau.

“Presiden UMNO sudah jawab mengenai perkara ini, jadi tak perlu saya komen lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, beliau menghormati semua pandangan yang dilontarkan berhubung perkara itu lebih-lebih lagi ketika parti-parti sedang dalam proses menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

“Kita dalam proses PRN ini, saya menghormati semua pandangan. Itu sahaja,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam kerjasama politik agar mengekalkan kesetiaan serta menjauhi sebarang unsur pengkhianatan demi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

Beliau berkata, pengalaman politik lalu menunjukkan terdapat pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan melalui tindakan yang disifatkan sebagai pengkhianatan politik meskipun kerajaan berada dalam keadaan stabil.

“Saya bagi kenyataan, dalam menjayakan kerjasama dalam negara ini jangan ada unsur-unsur pengkhianatan. Kalau tidak khianat, baguslah.

“Tetapi berdasarkan pengalaman kita, termasuk di Negeri Sembilan, walaupun politik dan ekonomi berada dalam keadaan stabil, tetap ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan. Jadi bagi saya, itu ada sedikit unsur pengkhianatan,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini yang menegaskan tidak seharusnya timbul isu pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran berakhir.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat bagi menafikan dakwaan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang melabel UMNO sebagai 'pengkhianat' susulan pengumuman PRN di Negeri Sembilan.

Katanya, sokongan parti itu terhadap kerajaan Negeri Sembilan sememangnya diberikan secara konsisten hingga ke akhir penggal pentadbiran.