Pembubaran DUN Negeri Sembilan tidak mudah

SHAH ALAM - Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan mungkin berlaku namun tidak mudah kerana bergantung kepada perkenan Yang Dipertuan Besar dan kedudukan Undang Yang Empat.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, Negeri Sembilan mempunyai keunikan perlembagaan dan adat pemerintahan yang berbeza daripada Johor.

Menurutnya, proses politik di Johor lebih lurus kerana keputusan pembubaran melibatkan nasihat Menteri Besar kepada Sultan tetapi di Negeri Sembilan kedudukan Yang Dipertuan Besar dan Undang Yang Empat menjadikan proses itu lebih kompleks.

“Dalam keadaan tertentu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan tidak bertindak secara bersendirian kerana Undang Yang Empat mempunyai peranan perlembagaan dalam fungsi tertentu, termasuk pelantikan Menteri Besar dan keputusan berkaitan pembubaran DUN.

“Malah istilah ‘ruler’ dalam konteks tertentu merujuk kepada Yang Dipertuan Besar bersama sekurang-kurangnya tiga daripada empat Undang.

“Tambahan pula, Negeri Sembilan baru sahaja melalui ketegangan antara institusi politik negeri dan institusi adat serta istana. Maka sebarang langkah pembubaran perlu dibuat dengan sangat berhati-hati supaya tidak dilihat mencetuskan krisis perlembagaan baharu,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Polemik pembubaran DUN Negeri Sembilan tercetus selepas ucapan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor sebelum ini yang mengatakan, ‘kalau Johor bubar esok, Negeri Sembilan pun boleh bubar esok’.

Rentetan itu timbul tanda tanya adakah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan mengikut jejak langkah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa 1 Jun.

Tambah Awang Azman, dari segi kebarangkalian, pembubaran DUN Negeri Sembilan dalam masa terdekat memang tidak boleh ditolak, khususnya selepas hubungan PH dan BN di negeri itu mengalami ketegangan apabila 14 ADUN UMNO menarik sokongan terhadap Aminuddin.

Jelasnya, sekarang pula wujud spekulasi DUN Negeri Sembilan boleh dibubarkan sebelum Oktober, iaitu sebelum sidang DUN bagi pembentangan belanjawan negeri.

“Tetapi saya melihat pembubaran itu bukan keputusan yang mudah atau automatik. PH perlu menilai tiga perkara.

“Pertama, sama ada jentera PH benar-benar bersedia, kedua pengundi melihat pembubaran ini sebagai langkah mencari mandat baharu atau sekadar tindak balas politik terhadap BN serta ketiga, apakah kesannya terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Selain itu, turut timbul persoalan, bolehkah pembubaran itu dibuat dengan keadaan krisis adat dan perlembagaan yang sedang berlaku sekarang," ujarnya.