"rafizi pembohong! jawablah dengan tuhan” - ku nan

KUALA LUMPUR - “Rafizi pembohong! Esok-esok dia jawablah dengan Tuhan,” kata Setiausaha Agong Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurutnya, pihaknya percaya masyarakat akan terus memberi sokongan kepada BN.

“Mana ada sokongan Melayu menurun,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat terutama Melayu sedar bahawa kerajaan sedia ada hari ini senantiasa bersama rakyat.

“Kita bersama mereka untuk memastikan kepentingan bangsa tidak tergugat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengetuai Invoke Malaysia yang dalam kajiannya mendedahkan, sokongan Melayu terhadap BN menjunam dari 41.1 peratus kepada 18.1 peratus bulan lalu. 

Tidak hanya itu, Rafizi dalam kajian itu juga turut mendedahkan perdana menteri pilihan juga menunjukkan Tun Dr Mahathir Mohamad memperoleh hampir 30 peratus rakyat mengatasi Najib hanya 23.8 peratus.

Tengku Adnan berkata, kajian-kajian tersebut sedikitpun tidak menjejaskan BN.

“Sebagai Setiausaha Agong, saya percaya terhadap orang Melayu yang akan terus memberi sokongan kepada BN yang bertulang belakangkan Umno,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran dan penyerahan kunci surau As Sobirin di Damai Rasa, Alam Damai di sini.

Sebanyak RM2.5 juta bantuan kewangan diluluskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk keperluan pembiayaan surau berkenaan.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, Penasihat DBKL Datuk Rizalman Mokhtar dan calon BN, Adnan Seman.

Mohd Rafizi RamliBN Kuala Lumpur
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :