Hamzah ganti Hamzah?

PENGUNDURAN Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang belum tentu menutup peranannya dalam Perikatan Nasional (PN), sebaliknya membuka satu kemungkinan luar jangka. Tidak mustahil beliau boleh kembali ke jawatan sama melalui laluan berbeza.

Perkembangan itu hadir ketika kerusi Ketua Pembangkang pada hakikatnya sudah menjadi milik Pas, dengan persoalan sebenar kini bukan lagi parti mana, tetapi siapa dalam Pas yang akan mengisinya. Langkah Hamzah berundur dilihat meredakan tekanan tersebut, namun dalam masa sama membuka ruang kepada penyusunan semula kuasa dalam gabungan berkenaan.

Ahli Parlimen Ketereh daripada Bersatu, Datuk Khlir Mohd Nor mendedahkan, tindakan Hamzah meletakkan jawatan dibuat bagi meredakan tekanan terhadap Pas yang didesak untuk mengisi jawatan tersebut.

“Pas maklum belum buat keputusan lagi, kita tunggu mesyuarat. Dalam masa sama kita tengok apa langkah Datuk Hamzah seterusnya,” katanya.

Beliau turut memberi bayangan bahawa Hamzah berkemungkinan bersama parti baharu untuk menyertai PN, bergantung kepada penerimaan gabungan itu, namun secara peribadi berpandangan Hamzah masih calon Ketua Pembangkang paling sesuai berdasarkan prestasi di Dewan Rakyat.

Dalam nada sama, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan tindakan Hamzah meletak jawatan sebagai langkah berjiwa besar demi menyelamatkan PN daripada berpecah.

**media[3491586]**

“Beliau sedar perlu lakukan demikian demi menjaga kredibiliti PN dan mengelakkan gabungan ini berpecah,” katanya sambil menegaskan pemilihan Ketua Pembangkang baharu bergantung kepada sokongan Ahli Parlimen PN.

Di sebalik perkembangan itu, muncul satu kemungkinan yang jarang dibincangkan iaitu Hamzah tidak semestinya terkeluar daripada persaingan, sebaliknya boleh kembali sebagai calon Pas sekiranya beliau menyertai parti tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu terbuka menerima sesiapa sahaja, namun kemasukan perlu mengikut prosedur.

“Hamzah kena memohon dahulu barulah kita buat keputusan. Itu merupakan prosedur biasa,” katanya di Kota Bharu pada Ahad, sambil memaklumkan Pas belum menerima sebarang permohonan rasmi setakat ini.

Kenyataan itu secara tidak langsung membuka ruang kepada senario ‘Hamzah ganti Hamzah’, iaitu beliau kembali sebagai Ketua Pembangkang tetapi di bawah tiket Pas, sekali gus memenuhi kehendak struktur kuasa dalam PN tanpa menyingkirkan figura berpengalaman itu.

Sebelum ini, Hamzah sendiri memberi bayangan bahawa “rumah baharu” yang dimaksudkan tidak semestinya parti baharu, sebaliknya boleh merujuk kepada parti sedia ada dalam PN.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar pula berpandangan jawatan Ketua Pembangkang hampir pasti diberikan kepada Pas, selaras dengan kedudukan dominan parti itu.

Menurutnya, terdapat tiga tokoh utama yang berpotensi dipertimbangkan iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau bagaimanapun cenderung kepada Takiyuddin yang disifatkan paling berwibawa berdasarkan pengalaman serta keupayaan di Parlimen.

Pandangan itu selari dengan Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi yang melihat Takiyuddin sebagai calon paling sesuai berikutan pengalaman luas, pernah menjadi menteri serta diterima oleh Pas dan Bersatu.

“Beliau juga tidak terpalit kontroversi besar dan dilihat mempunyai imej nasional,” katanya.

Menurut beliau, kelebihan tersebut penting dalam memastikan peranan Ketua Pembangkang dapat dilaksanakan secara berkesan, khususnya dalam mengimbangi kerajaan di Parlimen serta menyatukan suara blok pembangkang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kepimpinan.

Tambahnya, dalam keadaan PN sedang mencari kestabilan dalaman, pemilihan tokoh berpengalaman seperti Takiyuddin bukan sahaja mampu memperkukuh kredibiliti gabungan itu, malah memberi isyarat bahawa keutamaan kini adalah kepada kecekapan dan penerimaan merentas parti berbanding faktor hierarki semata-mata.

Namun, Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian mempunyai pandangan berbeza apabila menyifatkan Ahmad Samsuri sebagai front-runner paling kuat.

Menurutnya, kedudukan sebagai Pengerusi PN serta imej lebih neutral menjadikan beliau mudah diterima semua komponen, selain memberi isyarat peralihan kuasa kepada Pas.

“Di antara kedua-duanya, pemimpin yang dijangka dipilih mungkin Ahmad Samsuri atas kapasiti sebagai Pengerusi PN,” ujarnya.

Ditanya peluang untuk Hamzah kembali, beliau menjelaskan bahawa secara struktur peluang itu hampir tiada, namun tidak menolak kemungkinan taktikal.

Katanya, nama Hamzah boleh dinaikkan sebagai alat rundingan bagi menguji reaksi atau dijadikan kompromi sementara sekiranya Pas dan Bersatu gagal mencapai kata sepakat.

Dalam konteks ini, senario ‘Hamzah ganti Hamzah’ dilihat bukan mustahil, sebaliknya mencerminkan sifat politik semasa yang semakin pragmatik, di mana kedudukan tidak lagi ditentukan semata-mata oleh parti, tetapi kemampuan menyesuaikan diri dengan realiti kuasa.

Apa jua keputusan bakal dibuat, perebutan jawatan Ketua Pembangkang kini bukan sekadar soal siapa mengisi kekosongan, tetapi siapa sebenarnya menguasai arah tuju PN.