KUALA LUMPUR - Calon jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dianggap sebagai jaminan kepada pemimpin berkenaan menjadi calon ‘poster boy’ atau Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) serta bayangan pengganti Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada masa hadapan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya menegaskan, mana-mana calon Pas dipilih menggalas jawatan tertinggi PN itu lebih memfokuskan peranan sebagai penyelaras gerak kerja gabungan pembangkang menjelang siri pilihan raya negeri dan nasional akan datang.
"Jawatan Pengerusi PN bukan muktamad menjadi bayangan kepada dua perkara. Yang pertama, bukan bayangan calon Perdana Menteri atau calon ‘poster boy’. Kedua, bukan bayangan untuk mengambil alih jawatan Presiden (Pas). Tidak semestinya begitu.
"Jawatan ini dalam konteks parti adalah untuk memimpin gabungan supaya jentera diperkukuh dan diperkemaskan bagi menghadapi PRU16,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian di pejabatnya di Bangunan Parlimen di sini pada Khamis.
Sebelum ini, pelbagai spekulasi timbul berhubung calon pengganti jawatan Pengerusi PN dalam kalangan pemimpin Pas.
Antara nama yang disebut-sebut termasuklah Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor.
**media[3425337]**
Mengulas spekulasi mengenai nama yang dikaitkan dengan jawatan tersebut, Tuan Ibrahim menegaskan, sebarang nama yang digembar-gemburkan bukan bermaksud keputusan telah dimuktamadkan atau menjadi dasar rasmi Pas dan PN.
Sebaliknya, katanya, perkara tersebut masih terbuka untuk perbincangan berdasarkan perlembagaan gabungan serta persetujuan bersama parti komponen.
"Ada pandangan mengatakan jawatan itu mesti dipegang presiden parti, tapi berdasarkan perlembagaan PN, tafsiran Pas adalah ia tidak semestinya begitu.
"Jika semua parti komponen berkehendakkan presiden, kita perlu calonkan hanya seorang. Jika bukan presiden, kita boleh cadangkan satu atau dua nama lain.
"Semua ini boleh dibincangkan dan diselesaikan secara baik,” jelasnya.