ISU persempadanan semula kawasan pilihan raya di negara ini sering dikaitkan dengan persepsi sinikal sehingga kerap dijadikan alasan untuk menolak atau melengahkan usaha menyusun semula peta pilihan raya.
Dalam kalangan parti Melayu misalnya, timbul kecurigaan bahawa langkah tersebut akan menambah kerusi di kawasan bandar dan seterusnya memberi kelebihan politik kepada DAP serta PKR.
Namun, di sebalik kebimbangan politik itu, realiti demografi menunjukkan tekanan kepadatan penduduk di kawasan tertentu sudah berada pada tahap yang menuntut pembetulan struktur perwakilan.
Persoalannya, adakah persempadanan semula benar-benar soal siapa yang untung atau rugi dari sudut politik atau ia sebenarnya berkait rapat dengan keadilan demokrasi kepada rakyat sebagai pengundi?
Bagi Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi, dakwaan persempadanan semula akan menguntungkan DAP atau PKR lebih bersifat persepsi politik dan bukan ketetapan mutlak dalam demokrasi pilihan raya.
Menurutnya, kemenangan di kawasan bandar misalnya, tidak ditentukan semata-mata oleh faktor demografi, sebaliknya bergantung kepada strategi parti, kekuatan calon, isu semasa dan konfigurasi gabungan politik yang dibentuk.
“Jika Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) membina kerjasama strategik termasuk bersama MCA atau MIC misalnya, serta menampilkan calon bandar yang berwibawa, kelebihan juga boleh berubah. Persempadanan bukan alat parti tetapi pembetulan struktur demokrasi,” katanya.
Ditanya implikasi apabila seorang ahli Parlimen terpaksa mewakili sehingga 300,000 penduduk dalam sesebuah kawasan, Awang Azman menyifatkan keadaan itu sebagai tidak adil dan tidak sihat dari sudut demokrasi.
“Wakil rakyat akan gagal memberi khidmat berkesan, hubungan dengan pengundi jadi longgar dan fungsi semak serta imbang turut melemah. Prinsip ‘satu orang, satu nilai undi’ juga akan rosak apabila saiz pengundi terlalu ‘tempang’ antara kawasan.
“Saya berpandangan bahawa penolakan terhadap persempadanan semula ketika kepadatan penduduk terus meningkat sebenarnya menafikan hak pengundi sendiri,” katanya.
Ujar beliau, apabila sempadan tidak dikemas kini, pengundi akan kehilangan nilai undi yang setara, malah penolakan berterusan hanya mengekalkan status quo yang tidak adil dan akhirnya merugikan rakyat.
Ditanya mengenai landskap politik semasa, Awang Azman menegaskan politik Malaysia kini bersifat gabungan dan bukannya dominasi satu parti, sekali gus menjadikan kelebihan tradisional sesuatu kawasan semakin ‘cair’.
“Persempadanan hanya menyediakan padang yang lebih adil, bukan menentukan pemenang.
“Sekiranya persempadanan semula terus ditangguhkan, pihak paling terkesan ialah rakyat," ujarnya.
Menurutnya, parti politik boleh menyesuaikan strategi masing-masing tetapi rakyat terus menanggung beban wakil rakyat yang terlalu terbeban, akses terhad kepada khidmat dan ketidaksamarataan nilai undi.
“Demokrasi matang menuntut persempada-nan berkala dan adil, bukan ketakutan politik.
“Pada akhirnya ini bukan soal siapa menang pada pilihan raya tetapi sejauh mana keadilan demokrasi ditegakkan dan kepentingan rakyat benar-benar diletakkan di hadapan,” tegas beliau.