PRN Sabah: PKR tambah kerusi, Ketua AMK calon DUN Bandau

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Zaidi Jatil mengesahkan beliau disenaraikan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Zaidi ketika dihubungi Sinar Harian berkata, penyerahan watikah dilakukan pada Khamis oleh Timbalan Presiden merangkap Pengarah Jentera Pilihan Raya, Nurul Izzah Anwar.

Sementara itu, Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Sabah, Datuk Peto Galim turut mengesahkan satu lagi kerusi yang akan ditandingi iaitu DUN Moyog.

"Hanya dua kerusi iaitu DUN Moyog dan Bandau

"Remystar Taylor dicalonkan bagi DUN Moyog," katanya.

Susulan penambahan dua kerusi tersebut akan berlaku pertembungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walaupun kedua-dua gabungan itu adalah rakan kerjasama dalam PRN kali ini.

GRS sebelum ini menamakan Datuk Redonah Bahanda sebagai calon di DUN Bandau manakala bagi DUN Moyog pula ialah Ir Joeynodd Aiiko Roland Bansin.