Ewon bakal tinggalkan KUSKOP?

KUALA LUMPUR – Kedudukan Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menimbulkan persoalan apabila beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kementeriannya ketika spekulasi rombakan Kabinet sedang hangat diperkatakan.

Dalam hantaran di Facebook beliau, Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) merakamkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan terhadapnya sepanjang menerajui kementerian berkenaan.

“Mempengerusikan mesyuarat pasca-kabinet Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian – KUSKOP.

“Saya hargai kerjasama yang diberikan oleh Ketua Setiausaha dan semua warga KUSKOP serta agensi-agensi KUSKOP sepanjang tiga tahun memimpin kementerian ini.

 

**media[3334226]**

“Semoga semuanya diberkati dengan kesihatan dan kesejahteraan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara kita,” katanya.

Spekulasi mengenai rombakan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan semakin hangat selepas ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Jumaat seolah-olah memberi bayangan susulan tempohnya sebagai Ahli Dewan Negara bakal berakhir awal Disember ini.

Zambry yang berucap pada Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kedudukannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menekankan agenda negara kekal menjadi keutamaan.

Pada 19 Oktober lalu, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menyatakan kesediaannya untuk meletak jawatan dalam Kabinet sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf hak perlembagaan Sabah berhubung 40 peratus hasil Persekutuan.

Ewon berkata, keputusan itu selaras dengan resolusi yang diluluskan Konvensyen UPKO Bahagian Penampang yang menuntut beliau berundur daripada Kabinet sekiranya AGC meneruskan rayuan tersebut.