PH akan 'menari' ikut rentak BN tanding solo – Hassan

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) akan ‘menari mengikut rentak’ Barisan Nasional (BN) sekiranya parti itu benar-benar memutuskan untuk bertanding secara solo pada siri Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, langkah itu menggambarkan landskap politik Malaysia kini semakin dinamik apabila kerjasama tidak lagi terbatas kepada sebelum pilihan raya semata-mata.

“Situasi tidak lagi seperti dahulu iaitu mesti bekerjasama sebelum pilihan raya baharu boleh bekerjasama, sebaliknya selepas sudah berlawan dalam pilihan raya, baharu jalin kerjasama bagi membentuk kerajaan.

"Ini satu perkara positif, apapun jika betul UMNO dan BN telah buat keputusan bergerak solo, PH akan menari mengikut rentak BN," ujarnya lanjut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di sebuah pusat membeli belah di sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Prihatin dan Cinta Malaysia, Syed Othman Abdullah.

Hassan turut menegaskan PH perlu menghormati pendirian BN untuk bergerak secara solo, manakala BN pula digesa menunjukkan tolak ansur dengan tidak meletakkan calon di semua kerusi.

“Saya lihat keputusan kepimpinan BN (bergerak solo) khususnya di peringkat negeri mungkin adalah yang terbaik buat mereka kerana ketika ini berada di tempat sukar berbanding sebagai sebuah gabungan politik yang pernah mentadbir negara sebelum ini.

"PH perlu hormati keputusan itu, bagaimanapun dalam masa sama, tapi ada kawasan tidak perlu mereka bertanding sebagai tanda menghormati rakan kerjasama pusat, perlu ada tolak ansur juga," katanya

Pada 12 Oktober lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata BN akan menggunakan lambang dacing dan bergerak secara bersendirian dalam semua PRN bermula di Sabah sebelum diikuti Melaka, Johor dan PRU ke-16.