PN rapuh, gagal jadi alternatif untuk rakyat - AMK Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan rapuh yang gagal menampilkan kesepakatan serta hala tuju meyakinkan rakyat untuk masa depan negara.

Ketuanya, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, perkembangan terkini hasil daripada Muktamar Pas dan Perhimpunan Agung Bersatu jelas memperlihatkan kepincangan dalaman serta kegagalan PN untuk berdiri sebagai blok politik yang kukuh.

Menurutnya, isu perebutan jawatan Perdana Menteri serta desakan supaya Pas mengambil alih kepimpinan PN membuktikan gabungan itu lebih mengutamakan perebutan kuasa berbanding mencari solusi terhadap masalah rakyat.

“Dalam keadaan ekonomi rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang meningkat, PN masih tidak mampu mengangkat naratif dasar atau solusi yang meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Zakwan berkata, kekecohan yang berlaku dalam Perhimpunan Agung Bersatu serta dakwaan wujud konspirasi menjatuhkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memperlihatkan krisis keyakinan dan kepimpinan yang serius.

Katanya, jika dalam parti sendiri pun Bersatu gagal menguruskan disiplin dan perbezaan pandangan, sukar untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mentadbir sebuah negara yang penuh kepelbagaian.

Beliau turut menegaskan resolusi Muktamar Pas yang menonjolkan calon Perdana Menteri daripada parti itu bercanggah dengan pendirian Bersatu, sekali gus mencerminkan kerapuhan serta pertentangan terbuka antara rakan komponen PN.

“Rakyat memerlukan kepimpinan stabil dan fokus, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi global yang mencabar.

“Kerajaan Perpaduan hari ini sedang berusaha menarik pelaburan asing, memperkukuh dasar ekonomi serta menjaga kesejahteraan rakyat.

“Sebaliknya PN masih terperangkap dalam drama dalaman berpanjangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PN bukanlah alternatif yang boleh membawa Malaysia ke hadapan kerana ia hanyalah gabungan longgar yang sarat dengan perebutan kuasa dan perpecahan dalaman.