KOTA KINABALU – UMNO Sabah mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' berhubung perkembangan rundingan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir.
Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir berkata, ini kerana perjanjian terbaharu antara PH dan GRS dibuat di luar konteks rundingan yang telah berlangsung antara PH dan Barisan Nasional (BN).
Menurut beliau, memandangkan rundingan agihan kerusi antara BN dan PH telah pun diselesaikan, maka sebarang urusan seterusnya dengan GRS adalah tanggungjawab PH dan tidak membabitkan UMNO Sabah.
“Kita tunggu dan lihat kerana belum ada perbincangan sekiranya mereka mahu bergabung dengan GRS. Dalam perbincangan, hanya BN dan PH terlibat. Tetapi dalam sehari dua ini, GRS pula menyatakan kerjasama dengan PH, yang bermaksud ia di luar rundingan asal.
“BN dan PH sudah menyelesaikan urusan pembahagian kerusi. Selebihnya biar PH tentukan, termasuk sebarang permintaan atau tawaran daripada GRS. Kita tidak terlibat langsung. Kita tunggu pengumuman rasmi nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, yang memaklumkan bahawa GRS bersetuju menjalin kerjasama dengan PH dalam menghadapi PRN ke-17.
Bagaimanapun, Suhaimi turut menegaskan bahawa BN bersedia menerajui kerajaan negeri sekiranya diberi mandat oleh rakyat dalam PRN akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menyatakan bahawa kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh, berhubung rundingan kerusi antara PH dan BN yang telah selesai menunjukkan komitmen PKR untuk meneruskan kerjasama dengan BN di peringkat Persekutuan.
“Kenyataan Dr Fuziah menunjukkan komitmen Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk terus bekerjasama dengan BN di peringkat pusat dan pada masa sama, mengalu-alukan tawaran kerjasama politik daripada GRS seperti diumumkan Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Tambah beliau, PKR kekal komited untuk memastikan kestabilan politik di peringkat pusat dapat diterjemahkan ke peringkat negeri, terutama dalam memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.
“Memang bukan perkara mudah, tetapi inilah ujian kematangan politik semua pihak, terutamanya dalam proses rundingan kerusi.
“PKR sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti yang ingin bekerjasama, namun perundingan perlu dilakukan secara adil dan saksama,” ujarnya.
Untuk rekod, BN sebelum ini telah mengesahkan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah. Dalam masa yang sama, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memaklumkan dalam Persidangan Agung Tahunan parti itu bahawa kerjasama politik antara GRS dan PH akan diteruskan dalam PRN ke-17.