SEREMBAN - Penubuhan Barisan Pembangkang Bersatu merupakan satu usaha untuk memperjuangkan kepentingan rakyat secara kolektif.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali berkata, gabungan dianggotai parti-parti politik yang tidak menyertai mana-mana gabungan utama seperti Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) akan menumpukan perhatian kepada isu-isu yang menjadi kepentingan bersama, khususnya berkaitan kebajikan dan kehidupan rakyat.
“Antara isu utama yang menjadi fokus termasuk kos sara hidup yang semakin meningkat, isu akhlak dan moral, nepotisme dan kronisme serta rasuah.
“Pendirian parti-parti yang terlibat dalam cadangan gabungan ini selari dalam hal-hal melibatkan kepentingan rakyat.
“Kita nak bergerak atas common issues, perkara yang kita sepakat dan penting untuk rakyat, terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya.
Ibrahim berkata, dalam landskap politik semasa, Putra melihat penyertaan dalam gabungan baharu ini sebagai satu usaha untuk memperjuangkan kepentingan rakyat secara berkesan.
“Kita baru mula berbincang, tapi matlamatnya jelas iaitu demi kepentingan rakyat dan memperkukuh suara pembangkang yang berwibawa,” tambahnya.
Dalam pada itu, pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz berkata, pihaknya menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memperjuangkan dasar dan polisi sama, demi kepentingan rakyat.
“Kalau kita nak cerita tentang perbezaan, semua parti yang hadir punya perbezaan yang cukup besar. Tetapi saya fikir, ada beberapa isu pokok yang kita semua risaukan.
“Isu kos sara hidup yang membelenggu rakyat, salah guna kuasa yang semakin berleluasa dan janji reformasi yang masih tidak ditunaikan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Amira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, menegaskan, partinya percaya pembangkang perlu memainkan peranan sebagai suara yang tegas, kuat dan berprinsip agar kerajaan tidak terlepas daripada tanggungjawab kepada rakyat.
“Muda terbuka untuk bekerjasama dengan mana mana pihak yang ingin memperjuangkan dasar dan polisi yang sama. Atas dasar itu juga kita punyai persefahaman politik bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan kerjasama tentang URA bersama Parti Perjuang Tanah Air (Pejuang),” katanya.
Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) memaklumkan tidak akan menyertai mana-mana gabungan politik sekiranya prinsip dan pendirian tidak selari dengan parti itu.
Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, pendirian politik tidak seharusnya memisahkan rakyat sehingga kadangkala menimbulkan kekhuatiran dan kegelisahan terhadap pihak-pihak lain.
“Sebenarnya, apa-apa usaha untuk menangani isu membabitkan golongan B40 dan M40, memang kita sokong, tapi kadangkala ada parti-parti juga yang main isu memecah-belahkan rakyat.
“Jika ada satu gabungan yang buat macam itu, susah untuk kita sokong kan? Jadi ini bergantung pada (pendirian) itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Bagaimanapun, jelas beliau, sebarang keputusan hanya boleh diputuskan sebaik sahaja perbincangan dan persetujuan dicapai bersama dalam parti itu terlebih dahulu.
Sebelum ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan perbincangan bersama 11 ketua parti blok bukan kerajaan pada Jumaat.
Beliau berkata, ia bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai penubuhan Barisan Pembangkang Bersatu rentas parti yang akan mengambil pendirian bersama dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.