SHAH ALAM - Parti Sosialis Malaysia (PSM) belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan politik termasuk Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata, sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan hanya boleh dicapai setelah dipersetujui dalam Kongres PSM selaras tradisi Demokratik Sentralisma yang diamalkan parti itu.
Menurutnya, walaupun PSM telah dijemput oleh Presiden Bersatu dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk satu perjumpaan blok pembangkang, namun sebarang keputusan lanjut akan dibuat setelah persetujuan dicapai dalam parti terlebih dahulu.
"PSM hadir perjumpaan tersebut kerana ia tidak bercanggah dengan pendirian PSM untuk menerima jemputan jika dipanggil mesyuarat oleh mana-mana parti politik," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, dalam pertemuan tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melontarkan beberapa cadangan termasuk satu persefahaman merentasi parti-parti politik pembangkang yang mana ia disambut baik oleh PSM.
"PSM menyambut baik perbincangan yang diadakan dan telah memberikan pandangan dan posisi kami, namun demikian tidak ada sebarang keputusan oleh PSM untuk menyertai PN mahupun sebarang gabungan baharu," jelasnya.
Beliau memaklumkan, selaras dengan pendirian PSM sebelum ini, parti itu hanya mempunyai perikatan persefahaman politik dengan Muda dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
"Sebelum ini pun PSM pernah mempunyai persefahaman politik dengan Gagasan Demokrasi Rakyat (GDR) dan Pakatan Rakyat (PR).
"Sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan politik hanya boleh dibuat setelah dipersetujui oleh Kongres PSM," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Muhyiddin telah mengadakan perbincangan bersama 11 ketua parti blok bukan kerajaan pada Jumaat.
Katanya, ia bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti yang akan mengambil pendirian bersama dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.